Forum Murabbi Ummah seru penyatuan umat Islam

BERUAS: Seruan kebangkitan supaya masyarakat bersatu menghadapi suasana baharu politik negara selepas PRU14 yang berisiko membawa kehancuran ummah turut dilaungkan dari pentas Murabbi Ummah yang diadakan di Masjid As-Saadah, Pekan Beruas, di sini semalam.

Advertisement

Forum bertema “Penyatuan Masyarakat” itu telah menampilkan Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Lumut, Ustaz Zainal Abidin Saad dan Naib Ketua Umno Bahagian Beruas, Ustaz Razak Ahmad serta Ketua Urusan Ulamak PAS Kawasan Beruas, Ustaz Syakirin Husin.

Ustaz Zainal membentangkan naungan Islam yang memayungi seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang dengan membawa keadilan menyeluruh tidak sebagaimana agama lain diteraju kuasa dalam melayani minoriti umat Islam.

Beliau mengemukakan pemerintahan PAS di negeri Kelantan yang dipimpin ulamak telah terakam juga dalam sejarah menjamin keamanan buat rakyat dari bangsa dan agama lain walaupun ketika rusuhan 13 Mei 1969.

Manakala Ustaz Syakirin mengemukakan kesyumulan Islam sekali gus mengertikan bahawa politik juga sama sekali tidak terpisah atau boleh dipisahkan daripada agama, kerana politik tanpa agama akan mengundang kemungkaran dalam negara.

Jelas beliau, politik yang berteraskan agama juga menetapkan bahawa pengamal politik tertakluk kepada hukum Allah di mana ia mesti tunduk dan patuh, serta menjadikan Islam memimpin politik, bukan diperintah politik.

Sementara Ustaz Razak mengingatkan hadirin terhadap bahana akan menimpa umat Islam sekiranya masih berpecah belah serta hidup tanpa mementingkan ummah serta Islam itu berbanding diri sendiri.

Katanya, pemerintah PH bukan sahaja tidak berusaha menjulang ketinggian Islam, malah terdapat pihak yang bersama mereka mempunyai agenda sulit meletakkan Kristian menjadi agama negara.

Para ahli panel juga sepakat bahawa disebalik segala perbezaan yang wujud antara peneraju medan politik umat Islam-Melayu hari ini, tetapi penyatuan untuk menegakkan syariat Allah adalah sangat mendesak di negara ini.

Forum dihadiri ramai penduduk tempatan tersebut yang menunjukkan semangat penyatuan kian membuak itu telah dikendalikan oleh moderator jemputan iaitu Ustaz Zainuddin Ahmad dari Pondok Tahfiz QIAM, Batu Hampar. – HARAKAHDAILY 21/3/2019