Islam Rahmatan Lil ‘Alamin di N Zealand: Malaysia boleh belajar

SANGAT molek apabila Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa datang ke New Zealand. Dimaklumkan beliau akan sampaikan khutbah di salah sebuah Masjid di Christchurch yang menjadi tempat tragedi berdarah melibatkan 51 orang yang syahid dan 36 orang yang cedera. 12 daripadanya masih kritikal.

Advertisement

Datuk Seri boleh pelajari sedikit sebanyak Islam Rahmatan Lil ‘Alamin di New Zealand walaupun tak cukup jika hanya sekadar sehari dua datang ke New Zealand.

Dengan itu, saya bantu untuk Datuk Seri memahaminya. Apa yang boleh dipelajari setelah kejadian berdarah itu berlaku di New Zealand ialah sikap pimpinan, penghormatan dan simpati mereka dengan Islam tidak lagi boleh dikawal. Ia bukannya bermusim tetapi itulah sikap pemimpinnya dari dulu lagi.

Islam telah benar-benar menjadi rahmatan lil ‘alamin kepada seluruh penduduk New Zealand. Kehadiran pelbagai lapisan masyarakat yang datang meraikan kesejahteraan komuniti Muslim menjadi seperti bom jangka. Di mana-mana juga mereka bercakap mengenai Islam.

Hubungan masyarakat New Zealand dengan komuniti Muslim (seramai tidak sampai 2 peratus) ini menjadi semakin erat. Islam bukan lagi menjadi ketakutan dan penghalang keharmonian bagi mereka. Islamphobia telah ranap 100 peratus di New Zealand. Senyuman dan kegembiraan mereka kepada orang Islam nampak keikhlasannya.

Kenapa hal ini boleh terjadi? Ia bukanlah boleh berlaku tiba-tiba. Sebenarnya, etika perhubungan awam yang dibina dalam kalangan masyarakat sejak kecil supaya sentiasa menghormati hak sesama sendiri telah lama dipupuk. Terdapat satu lagu dalam Bahasa Maori bertajuk ‘Te Aroha (love)’ telah lama dinyanyikan di New Zealand. Liriknya berkaitan love, hope, peace and together menjadi darah daging mereka.

Masing-masing ada hak menjaga prinsip beragama masing-masing. Cuma, golongan majoriti dan minoriti dilarang menyentuh soal sensitiviti antara kaum dan agama. Sekarang, apabila Perdana Menteri NZ Jacinda Ardern meminta untuk tunjukkan solidariti kepada komuniti Muslim dengan memakai tudung, melaungkan azan satu NZ, dan menjaga keselamatan Muslim ketika solat, ia boleh diterima dan bukan lagi menjadi sensitiviti kepada Non-Muslim kerana mereka telah mengenali Islam sebagai agama yang pentingkan keamanan dan kasih sayang dari awal lagi. Hal ini adalah kesan daripada selama ini golongan minoriti Islam sentiasa menjaga akhlak dan tatasusila dengan golongan majoriti dengan sebab itu golongan minoriti Islam dihormati.

Rumusannya, Muslim tetap dengan prinsip Islamnya. New Zealander dengan itu telah faham bagaimana kasih sayang yang dipupuk sesama Islam melalui prinsip persaudaraan dalam Islam dan ia diakui yang kemudiannya tersebar ke seluruh NZ. Begitu juga, jika golongan minoriti tak ganggu hak golongan majoriti, maka tak akan berlaku masalah dalam penjagaan hak bernegara. Itulah Rahmatan Lil ‘Alamin yang perlu dipelajari di Malaysia.

DR MOHD SYAKIR MOHD ROSDI
New Zealand
22 Mac 2019 – HARAKAHDAILY 22/3/2019