Tolong jangan lulus penanaman ganja

APA nak jadi dengan negara kita ni? Buat sekian kalinya kita menyebut bahawa ganja lebih banyak mudarat kepada rakyat berbanding dengan manfaat. Memang ya, terdapat sedikit manfaat perubatan tetapi tidak berbaloi jika kerajaan ingin menanam ganja hanya kerana bermotif pendapatan lumayan (Malaysiakini 20 Mac 2019).

Advertisement

dr suhazeliNamun kerosakan akan terus menghimpit negara kita yang sudah pun agak sukar untuk dibendung gejala penagihan dadah (Lihat data AADK).

Akta Racun 1952 masih valid kerana bukti saintifik terkini pun masih tidak boleh mendakwa ganja (dalam apa jua bentuk) sebagai ubat. Amat menakutkan jika dilihat kajian mendapati ganja boleh menyebabkan penyakit gila (NBCNews 20 Mac 2019).
.
Jika benar terdapat bukti seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak, negara kita mempunyai badan berautoriti seperti NPRA. Boleh bawa hujahan tuntutan perubatan itu kepada NPRA sebelum lulus digunakan sebagai ubat. Jika hanya testimoni atas diri sendiri, elok dengar ucapan Dato’ Dr Musa Nordin dalam satu wawancara TV “Dalam hierarki ilmu, paling rendah adalah testimoni”.

Ganja tidak lebih dan tidak kurang tarafnya dengan daun rama-rama atau durian belanda dalam dakwaan merawat kanser. Kajian-kajian setakat ini kebanyakannya hanya atas piring pateri makmal dan tikus. Tidak pun melepasi fasa 3 dan 4 kajian perubatan.

Alasan menanam ganja untuk kajian adalah juga tidak munasabah kerana kajian perubatan boleh dilakukan oleh mana-mana pengkaji dalam negara dengan syarat lulus etika kajian. Setelah lulus etika, ganja boleh diperolehi dari negara jiran melalui prosedur tertentu.
.
Perkara yang amat membimbangkan kita adalah kecenderungan penyalahgunaan dadah tinggi. Ini kerana sistem penguatkuasaan negara masih belum mampu sepenuhnya. Penguatkuasaan dadah narkotik seperti morfin, heroin, syabu, pil kuda pun masih belum berjaya sepenuhnya. Bebanan pihak berkuasa untuk penangkapan dan pemulihan makin bertambah.
.
Sepatutnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) lebih bersungguh menyuarakan isu ini jika ianya benar-benar banyak manfaat dalam perubatan. Saya menyeru agar tiada penghalalan ganja dalam negara kita. Menutup pintu mudarat adalah lebih penting dari mendapatkan sedikit laba keuntungan jualan. – HARAKAHDAILY 21/3/2019