Laungan azan di TV, radio N Zealand

KOTA BHARU: Buat pertama kali laungan azan semasa solat Jumaat disiarkan secara langsung di saluran televisyen dan radio nasional di New Zealand.

Advertisement

Jemaah yang memenuhi masjid berdiam diri sepanjang azan dilaungkan Imam Lateef.

Kelihatan orang ramai termasuk golongan wanita yang berbagai latar belakang agama turut menzahirkan solidariti dengan memakai tudung sebagai tanda solidariti kepada umat Islam.

Hagley Park, yang terletak berdekatan Masjid Al Noor merupakan lokasi pertama diserang pengganas Jumaat lepas, dibanjiri lautan komuniti New Zealand, termasuk bukan Muslim.

Azan solat Jumaat dilaungkan kira-kira jam 1.30 petang waktu tempatan, diikuti khutbah Jumaat.

Pelajar Malaysia Shahmi Aiman Saiful Adli berkata, mereka datang mahu mendapatkan kefahaman lebih jelas mengenai agama Islam.

“Lebih 10,000 penduduk menghadiri upacara memperingati mangsa serangan pengganas hari ini,” katanya ketika dihubungi di sini.

Jumaat lepas, 49 menjadi mangsa tembakan rambang pengganas kulit putih di dua masjid di Christchurch. Tiga rakyat Malaysia juga cedera dalam serangan ganas itu. – HARAKAHDAILY 22/3/2019