Tun M terpaksa cari pembantu luar kabinet

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menggambarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad seperti keseorangan mengemudi negara.

Advertisement

Ujarnya, Tun Mahathir dilihat sedemikian kerana beliau mempunyai barisan kabinet yang tidak berpengalaman dan tidak pakar dalam bidang tertentu.

“Contohnya, ECRL (Laluan Rel Pantai Timur) beliau lantik Tun Daim Zainuddin, tidak melantik menteri kewangan kerana menteri kewangan tidak mampu, sebagai contohnya.

“Begitu juga dalam hal-hal lain. Dengan sebab itulah dia membuat kenyataan begitu kerana dia keseorangan.

“Dia terpaksa cari pembantu-pembantu yang boleh menolong dia, yang bukan dalam kabinet,” katanya ketika ditemui wartawan di rumahnya di Rusila, Marang hari ini. Rakaman video itu dimuat naik dalam laman Facebook beliau.

Ditanya sama ada Mahathir perlu merombak kabinet yang ada sekarang kepada kabinet yang memiliki kepakaran, hal itu sepatutnya berlaku sepertimana beliau pernah mencadangkan kerajaan teknokrat yang bukan hanya terdiri daripada ahli politik bahkan ahli-ahli yang pakar dalam bidang tertentu.

Pada Rabu lalu, Mahathir berkata buat masa ini kerajaan melantik Tun Daim Zainuddin sebagai utusan khas Perdana Menteri untuk mengendalikan proses rundingan semula ECRL dengan China kerana diyakini berkelayakan dan berkebolehan berunding dengan negara tersebut.

Dalam pada itu, Tuan Guru yang juga Ahli Parlimen Marang tidak bersetuju langkah kerajaan bercadang menjual beberapa aset milik Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) katanya ini menandakan disebabkan oleh pengurusan yang lemah.

“Sepatutnya tidak bolehlah jual aset itu. Tak sampai ke tahap itu, sepatutnya kerajaan kena tunjukkan kebijaksanaan dia. Jual aset ini bukan menandakan kebijaksanaan dan lebih banyak nak menyalahkan kerajaan dulu.

“Kerajaan dulu memang ada salah, kita tak nafikan ia ada salah, tapi kerajaan yang ada mestilah tunjukkan bahawa dia lebih baik, buatlah sesuatu jangan asyik menyalahkan orang sahaja,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/3/2019