Terima kasih Maszlee Malik

SAYA terpanggil untuk menyatakan rasa bangga dan dukacita saya kepada pihak Kementerian Pendidikan dan kerajaan Pakatan Harapan.

Advertisement

Saya berasa sungguh gembira apabila impian kami sebagai seorang mahasiswa selama ini, yang ingin membawa ulama teragung di Malaysia ke dalam kampus dapat diluluskan. Kedatangan Tuan Guru kali ini adalah untuk program berasaskan ‘academic based’ bersama golongan mahasiswa dan pensyarah.

Saya menerima surat kelulusan, kebenaran secara lisan dan bertulis dari pihak UKM pada 19 Mac baru-baru ini. Terima kasih kami ucapkan kepada UKM dan Kementerian Pendidikan yang diterajui oleh Dr Maszlee Malik sendiri atas sifat keterbukaan Malaysia Baru ini.

Namun untuk makluman kepada semua, program ini hanya diluluskan pada kebenaran untuk menjalankan program sahaja tapi tidak pada tempat yang dinyatakan di dalam surat permohonan program tersebut iaitu Dewan Canselori Tun Abdul Razak (DECTAR). Kami sudah berurusan dengan pihak DECTAR bermula dari bulan 11 yang lepas lagi dan kami sudah berjaya menempah DECTAR dan menghantar surat kelulusan program dari UKM Siswa.

Lebih mendukacitakan, surat yang kami hantar itu tidak dapat diteruskan pada peringkat yang lebih lanjut atas dasar wujud ‘sentimen politik’ pada program kami. Menjadi persoalan kepada Kementerian Pendidikan, bukankah pindaan AUKU yang terbaru sudah menyatakan secara jelas isu politik bukanlah satu penghalang kepada mahasiswa yang berada di dalam kampus.

Kami berharap pihak Kementerian Pendidikan dan Dr Maszlee Malik khususnya untuk menggunakan kuasa beliau sebagai Menteri bagi memperakukan kelulusan tempat di dalam UKM iaitu di DECTAR pada 25 Mac ini. Ini supaya laungan kebebasan akademik yang diperjuangkan Pakatan Harapan itu dapat selari dengan tindakan. Makluman terakhir yang saya terima dari pihak DECTAR, pada tarikh 25 Mac itu ia masih kosong dari sebarang program.

Kami mengharapkan kerjasama dan keseriusan dari kerajaan Pakatan Harapan dalam melaksanakan kebebasan akademik dalam kampus Universiti Awam di Malaysia, khususnya di UKM.

MOHD ZOFRIE ZULHILMIE RUSLEE
Presiden ISIUKM
24 Mac 2019 – HARAKAHDAILY 24/3/2019

bicara