Waspada gerakan licik rempuh tonggak negara

KUALA  KANGSAR: Umat Islam di negara ini diingatkan terhadap perancangan licik musuh yang menggerakkan bidak catur melemahkan institusi Melayu-Islam, demikian amaran Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad.
 
Jelas beliau, serangan tersebut dilakukan oleh bukan Islam, tetapi digerakkan jentera daripada kalangan Melayu sendiri yang bersikap khianat terhadap saudara se-Islam mereka.
 
Kemukanya, antara tindakan terkini adalah desakan SUHAKAM supaya kerajaan meratifikasi ICERD, memansuhkan hukuman bunuh dan akta hasutan, menandatangani Rome Statut dan ICCPR.
 
“Ada 33 kesalahan yang boleh menyebabkan hukuman bunuh. (Matlamat) mereka bukan hendak hapuskan hukuman bunuh untuk pesalah jenayah. Sebenarnya mereka hendak hapuskan hukuman bunuh untuk empat kesalahan pertama.
 
“Di antaranya kesalahan menentang Yang di-Pertuan Agong. Dalam Perlembagaan, ada empat yang tidak boleh diusik, hatta mereka (PH) menang 100 peratus di Parlimen. Ia mesti dengan perkenan Majlis Raja-raja Melayu.
 
“Pertama ialah kedudukan Islam, kedua Bahasa Melayu, ketiga keistimewaan Melayu dan Bumiputera, keempat Raja-raja. Kalau nak ‘rempuh’ (empat) ini, kena rempuh Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja.
 
“Maka apa yang mereka buat? Mereka lemahkan institusi Raja-raja Melayu. Bila kedudukan ini lemah, (maka) sampai masanya (nanti) mereka robohkan. Struktur asas pembinaan negara kita ini mereka akan buang,” ujarnya.
 
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) berucap demikian merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kuala Kangsar Kali Ke-53 di Resort USAS, di sini semalam.
 
Sehubungan itu beliau menuntut supaya para pendukung mengemaskan saf perjuangan dan bekerja memenangkan Islam di negara ini, sementara hal kemenangan serahkan kurniaan itu sebagai urusan Allah.
 
Tegas beliau, kemenangan sebenar bagi pejuang Islam ialah apabila dapat kekal istiqamah bersama perjuangan mewujudkan kesinambungan tugas para Nabi dan Rasul agar manusia tunduk kepada Allah dan menjauhi segala kesesatan.
 
Hadir sama majlis itu adalah Ketua, Timbalan Ketua dan Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Kangsar, iaitu Maslin Sham Razman, Mohamad Zuraimi Razali dan Azizul Rahim Abdul Rahman.
 
Juga Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan Ketua Puteri Umno Kuala Kangsar iaitu Mustafa Shah Abdul Hamid, Rohayu Abd Rajak dan Puteri Farhana Megat Ahmad Shahrani serta wakil NGO ISMA, PPIM, PWANIS, PERKASA dan GAMIS. – HARAKAHDAILY 24/3/2019
IMG 20190324 WA0006
 
IMG 20190324 WA0007
 
IMG 20190324 WA0008
Advertisement