PAS sokong ketegasan MB Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR: PAS Negeri Sembilan menyokong penuh ketegasan Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun yang melarang penjualan minuman keras di Seremban International Golf Club (SIGC).

Advertisement

Walau bagaimanapun, Aminuddin yang juga Presiden SIGC dituntut mengotakan kata untuk melepaskan jawatannya sebagai presiden kelab tersebut seperti yang dijanjikannya sebelum ini iaitu mahu meletakkan jawatan sekiranya kelab itu enggan mematuhi larangan terbabit.

Pemangku Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha berkata, usaha yang dilakukan oleh Aminuddin itu adalah satu tindakan yang tepat biarpun kelab itu bersifat antarabangsa yang dianggotai oleh pelbagai kaum.

“Memang wajar beliau bertindak sedemikian, sebagai seorang Islam yang mempunyai kuasa di negeri yang majoriti diduduki oleh orang Islam, itu sepatutnya.

“Cumanya sekarang ini, larangan itu telah ditarik semula maka Aminuddin perlu mengotakan katanya dengan melepaskan jawatan sebagai presiden di kelab itu.

“Itu janji dia, sebab orang yang berjanji ini kalau dia tidak tunaikan janji dia, kita takutlah pula salah satu ciri orang munafik adalah tidak menunaikan janji,” katanya kepada Harakahdaily seagai mengulas isu berhubung penarikan semula larangan penjualan minuman keras di kelab SIGC yang sebelum ini telah dikuatkuasakan pada Ogos tahun lepas selepas Aminuddin dilantik menjadi Presiden Kelab SIGC.

Larangan tersebut baru-baru ini telah ditarik semula walaupun Aminuddin telah mengancam untuk melepaskan jawatan sebagai Presiden Kelab SIGC kerana larangan tersebut dikatakan bertentangan dengan perlembagaan kelab itu.

“Kita nampak sebenarnya antara yang jelas di Negeri Sembilan ini sebenarnya dari segi kuasa untuk melaksanakan sesuatu peraturan yang patuh syariah itu kita nampak iabukan satu perkara yang mudah mereka boleh lakukan.

“Kita pun tahu siapa yang sebenarnya lebih berkuasa dalam kerajaan di Negeri Sembilan, kita nampak benda itu,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 25/3/2019