Korban penjawat awam

shahir3

DEWAN Pemuda IKATAN Malaysia menzahirkan rasa terkilan apabila sekali lagi penjawat awam dijadikan sasaran untuk terus berkorban dan “ikat perut” dengan alasan masalah kewangan negara sebagai punca kerajaan membayar hutang yang tinggi.

Advertisement

Terdahulu, awal tahun 2019, satu pekeliling bertajuk “Kawalan Saiz Perkhidmatan Awam” yang bertujuan mengurangkan perjawatan di Kementerian dan Agensi Kerajaan sebanyak satu peratus (1%) secara keseluruhan pada tahun 2019 dikeluarkan.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia membuat kira-kira seramai 16 ribu penjawat awam rakyat Malaysia akan hilang sumber pendapatan jika angka 1.6 juta merupakan jumlah keseluruhan penjawat awam di Malaysia.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia sangat terkilan dengan pelbagai lantikan politik yang dibuat di Kementerian, Agensi Kerajaan, Badan Berkanun dan Syarikat Berkaitan Kerajaan. Seolah-olah penjawat awam yang sekian lama berkhidmat untuk negara tidak dipedulikan, tetapi sahabat-sahabat mereka di dalam parti politik, termasuk ahli keluarga diberi “peluang pekerjaan” yang baru, walhal ada yang sudah bergelar Yang berhormat, tetapi masih mahu mengemudi agensi kerajaan sebagai pengerusi atau ahli lembaga pengarah.

Adakah sebenarnya “peluang pekerjaan” yang disebut di dalam Manifesto Harapan itu ditujukan kepada sahabat-sahabat dan ahli keluarga mereka di dalam parti masing-masing?

Pada masa yang sama, di saat hutang negara dikatakan banyak sebagai alasan “mengikat perut” penjawat awam, Kerajaan Pakatan Harapan dengan tidak sensitif mengumumkan projek-projek yang tidak mendatangkan manfaat kepada majoriti rakyat Malaysia, sebagai contoh “projek kereta terbang”.

Di saat gesaan “mengikat perut”, kita lihat gaji MP dan Menteri begitu banyak puluhan ribu jika dibandingkan dengan penjawat awam majoriti yang lain. Di manakah keadilan rakyat dan penjawat awam?

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menggesa kerajaan untuk memperhalusi keputusan ini kerana rakyat sebenarnya makin dihimpit kegawatan ekonomi dan kenaikan kos sara hidup. Kurangkan lantikan politik, biar penjawat awam yang berwibawa melakukan tugas mereka.

Harus diingat, penjawat awam merupakan tunjang kepada pentadbiran negara. Ahli politik datang dan pergi, tetapi mereka tetap komited menguruskan pentadbiran kerajaan.

Demi Bangsa Malaysia!

SHAHIR ADNAN
Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia
Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera
26 Mac 2019 – HARAKAHDAILY 26/3/2019