Tun M bukan diktator – TG Abdul Hadi

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyatakan bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bukan seorang diktator sebagaimana dakwaan Nurul Izzah Anwar.

Advertisement

Menurutnya, Tun Mahathir merupakan seorang pemimpin yang tegas apabila menghadapi ahli kabinet yang lemah.

“Saya nak komen tentang kenyataan yang mengatakan Tun Mahathir diktator.

“Itu bukan diktator, itu tegas kerana beliau dipilih secara demokrasi dalam pilihan raya dan PH yang pilih dia (sebagai Perdana Menteri). Bukan dia lantik diri sendiri.

“Apa yang penting ialah ketegasan. Tegas menghadapi ahli kabinet yang lemah.

“Itu bukan diktator, itu suatu yang perlu bagi pemimpin, beliau perlu tegas menghadapi kabinet yang lemah,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Terdahulu, Nurul Izzah yang juga Ahli Palimen Permatang Pauh dalam satu wawancara bersama Straits Times Singapura menyifatkan Mahathir sebagai bekas diktator yang banyak melakukan merosakkan.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengatakan bahawa penggal ini merupakan yang terakhir menjadi wakil rakyat.

Nurul Izzah juga meluahkan rasa kecewanya dengan kemasukan bekas wakil rakyat Umno dalam Pakatan Harapan (PH). – HARAKAHDAILY 26/3/2019