Gaza menangis lagi, kita wajib peduli

HARI ini masuk hari ketiga kota Gaza dibedil oleh rejim zionis, pembantaian skala besar dihadapkan kepada umat Islam Palestin yang berjuang untuk membebaskan al-Quds. Gaza adalah penjara terbesar di atas dunia ini, dengan kepadatan penduduk seramai dua juta jiwa, tiada ruang selamat untuk berlindung jika serangan udara dihalakan kepada batas jalur yang sempit ini.

Advertisement

Tembok tinggi simen, juga jalur pantai mengepung wilayah yang menjadi kubu HAMAS ini, apatah lagi nasib umat Islam Palestin ini yang berjiran dengan Mesir yang tolol dan sekutu kuat US serta Israel. Bedilan udara zionis meratah jasad manusia yang tak berdosa serta melanggar konvensyen Geneva. Al-Qassam, sayap tentera HAMAS juga melakukan tindak balas semerta termasuk berjaya menyerang bandar dan wilayah Askeelon di sebelah Israel.

Pertembungan antara Islam dengan kelompok Yahudi adalah melalui denai sejarah yang panjang. Di zaman ar-Rasul SAW, kelompok Yahudi Bani An-Nadhir, Bani Qainuqa’, Bani Quraizah telah mengkhianati baginda yang mulia, sehingga kemuncaknya berlaku peperangan Khaibar pada bulan Muharram tahun tujuh hijrah.

Di zaman moden kelompok Yahudi telah menubuhkan gerakan zionis pada tahun 1897 di Bassel, di mana 300 orang sarjana Yahudi yang dipimpin oleh Teodor Hezl telah menggagaskan matlamat dan nuansa kelompok Yahudi yang bercita-cita menguasai dunia. Matlamat mereka mewujudkan “The greater Israel”, mereka ingin menjadikan Palestin sebagai pusat pemerintahan dan menguasai Baitul Maqdis.

Cita-cita ini didukung oleh Empayar Pax Britanica, British meluncurkan Perjanjian Balfour dan seterusnya Perjanjian Porthmouth. Khilafah Islam yang terakhir, khilafah Uthmaniah telah menjaga setiap inci tanah suci umat Islam ini dengan airmata dan darah. Peperangan antara Tentera British yang dipimpin oleh Sir Lord Allenby dengan tentera Islam Khilafah Uthmaniah telah menyaksikan kemenangan empayar British pada tahun 1917.

Cita-cita Zionist semakin terbuka dengan kemenangan Sekutu mereka, British dalam peperangan merebut tanah Palestin. Impian ini semakin terbentang luas untuk digapai apabila berlakunya kejatuhan Khilafah Uthmaniah pada Mac 1924. Gerakan Islam menjadi benteng paling hadapan menentang kewujudan negara Israel yang diimpikan oleh zionis.

Sheikh Izzudin Al-Qassam terbujur syahid pada tahun 1935 dalam perlawanan menentang British yang menjajah Palestin. Ikhwanul Muslimin yang dipimpin oleh Hasan al-Banna telah menggerakkan kempen besar-besaran untuk menyelamatkan Palestin dan Baitul Maqdis. Kemuncaknya perang di Palestin pada tahun 1948 menyaksikan lebih 10,000 anggota-anggota Ikhwanul Muslimin bertempur di Tanah Suci ketiga umat Islam ini, sehingga mereka dikhianati oleh pemerintah Mesir (dipanggil pulang ke Mesir dan dipenjarakan).

Umat Islam Tanah Melayu dalam sejarahnya tidak menyepikan diri dalam isu bumi israk ini. Pada tahun 1935, Dr Burhanuddin al-Helmy telah mendekam di penjara Palestin akibat menyertai bantahan terhadap British yang ingin mewujudkan sebuah negara haram kepada orang Yahudi di tanah Palestin. Almarhum sekali lagi dipenjarakan oleh British di Singapura pada tahun 1937 kerana memprotes sikap British dalam isu Palestin dalam akhbar “Taman Bahagia”.

Hizbul Muslimin, ormas yang bertujuan menentang British dan menegakkan pemerintahan Islam di Tanah Melayu juga dalam himpunan mereka di Maahad Ehya as-Sharif Gunung Semanggol pada Mac 1948 telah mengemukakan usul menyelamatkan Palestin. Jawatankuasa menyelamatkan Palestin dipengerusikan oleh Dr Burhanuddin al-Helmy, menyiapkan memo bantahan kepada PBB dan juga menjalankan kempen menyelamatkan Baitul Maqdis.

PAS semenjak ditubuhkan pada tahun 1951, sentiasa memberikan kesedaran kepada rakyat untuk peka akan nasib Palestin. Dr Burhanuddin al-Helmi, sebagai ideologue PAS dalam tahun 50-an dan 60-an tidak pernah menyepikan isu Baitul Maqdis. Beliau menyebut dengan jelas dalam ucapan Dasar Yang Dipertua PAS, bagaimana kewujudan Israel adalah duri dalam daging kepada umat Islam di Asia Barat, bahkan kepada umat Islam di seluruh belahan dunia. Begitulah sejarah yang terakam dalam kepimpinan PAS, merasa berbahagi kepedihan dengan rakyat Palestin yang ditindas.

PAS menghantar pelbagai misi bantuan kepada umat Islam Palestin, mengadakan pelbagai seminar, wacana, diskusi intelektual, forum bagi menyelamatkan Palestin. HAMAS menjadi teman baik PAS semenjak ditubuhkan pada tahun 1987 oleh Sheikh Ahmad Yasin, diundang ke Ijtimak Alami yang diadakan di Rusila pada tahun 1988. Dalam Parlimen, ahli-ahli legislatif PAS mengemukan usul berkaitan nasib Palestin.

Krisis yang berlaku di Asia Barat adalah usaha jahat Amerika dan zionis untuk melakarkan peta berdarah baru bagi menggantikan Perjanjian Sykes Picot 1916. Makar ini sebenarnya bagi menjamin keutuhan dan keselamatan negara haram Israel bagi menguasai sepenuhnya sumber tenaga “emas hitam”, termasuk menguasai laluan strategik perairan dan juga udara, Obses dengan pelaburan dan monopoli pasaran Asia Barat.

Gerakan Islam jangan larut dengan pelbagai polemik dan intriq, hanya disibukkan dengan wacana kekuasaan. Antara tugasan besar mereka ialah mengembalikan semula Baitul Maqdis, memperjuangkannya dengan konsisten, termasuk melibatkan sama pelbagai jaringan sivil untuk sama-sama membebaskan tanah Palestin. – HARAKAHDAILY 27/3/2019

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.