JAM sertai kolaborasi SAR mangsa hilang

GOPENG: Jabatan Amal Malaysia (JAM) Kawasan Gopeng turut sama dalam Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) peserta Gopeng Ultra Trail yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu.

Advertisement

Mangsa, Mohammad Ashraf Hassan, 29, dari Muar, Johor adalah antara 485 peserta larian sejauh 25 kilometer acara tersebut yang bermula dan berakhir di Gua Tempurung, hari sama.

Kehilangan itu disedari rakannya, Mohd Farid Md Kamal, 32, setelah mendapati Ashraf tidak sampai selepas perlumbaan tersebut selesai, lalu kejadian tersebut dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Operasi ini melibatkan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Turut serta adalah Unit Anjing Pengesan (K9) dan NGO termasuk dari pelbagai persatuan pendaki, juga penduduk setempat yang gigih membantu dengan segala bentuk sokongan untuk kelancaran gerakan.

Menurut Komandan JAM Gopeng, Mohamad Hafiz Yahaya, pihak beliau yang berkekuatan 20 anggota telah bersepadu bersama semua agensi terbabit sejak tiga hari lalu dalam operasi itu.

“Kami menjejaki langkah terakhir mangsa di Checkpoint ke-10 atas Bukit Batu Putih di mana botol air mangsa ditemui di situ. Bagaimanapun, setelah dilakukan pemeriksaan, masih tiada petunjuk mengenai mangsa ditemui di sekitar kawasan berkenaan,” ujarnya petang semalam.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Gopeng, Ustaz Mohd Harith Hamzah bersama para Pemuda dan pimpinan PAS serta orang ramai telah mengadakan solat hajat dipimpin Ustaz Shahrizal Zainuddin di Masjid Lama Gopeng, di sini semalam.

Turut dihadiri Yang DiPertua PAS Gopeng, Ustaz Abu Bakar Hussein, pihak mereka berharap agar segala urusan berkaitan operasi dipermudahkan Allah S.W.T dan usaha gigih semua pihak tersebut akan menatijahkan kejayaan menemui mangsa dalam keadaan selamat. – HARAKAHDAILY 28/3/2019     

IMG 20190327 WA0051

IMG 20190327 WA0052

IMG 20190327 WA0053

IMG 20190328 WA0002