PH masih terkial-kial cipta kejayaan

“DATO’ Seri Najib seorang yang baik, cuma kelibat isterinya terlebih sangat,” ujar seorang usahawan dari Kuala Lumpur. Beliau juga mendakwa tahun 2019 belum mendapat projek lagi.

Advertisement

Beliau memiliki syarikat memasang dan membaiki penghawa dingin. Harapannya April ini, perniagaannya beroperasi semula. Baginya Tun Dr Mahathir Mohamad sekadar boneka Pakatan Harapan (PH).

Seorang kakitangan syarikat milik kerajaan pula mempersoalkan boleh percayakah Umno. Beliau bimbang setelah mendapat kuasa nanti, Umno akan tinggalkan PAS. Beliau mengingatkan sejarah 1978 apabila PAS ditendang keluar daripada Barisan Nasional (BN).

Ketika itu wakil rakyat PAS menentang pengisytiharan darurat di Kelantan. Ia berkisar krisis kepimpinan Menteri Besar. Sebelum ini pun arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat acap kali sebut tidak mahu dipatuk ular di lubang sama.

Namun situasi yang berlaku ketika itu begitu berbeza. Sekarang Umno dan BN hanya berkuasa di Perlis dan Pahang. Putrajaya yang menjadi ibu segala kerajaan menjadi milik Pakatan Harapan (PH).

Suhu dan fenomena benar-benar berbeza dalam dua kondisi tersebut. Di Kuala Balah malam Ahad lepas Pemangku Ketua Umno Jeli Dato’ Abdul Aziz Derashid pun bertakbir berkali-kali.

Ceramah penyatuan ummah itu diadakan di pasar Kuala Balah. Malah Setiausaha BN Kelantan Dato’ Mohd Alwi Che Ahmad juga bertakbir pada program itu.

Setidak-tidaknya hantu jembalang dan jin jahat bertempiaran lari.

Alwi yang juga Adun Kok Lanas tidak segan memberitahu sudah lima kali menghulur derma kepada petugas PAS di program ceramah.

Inilah fenomena baharu yang berlaku selepas 9 Mei 2018. Sebelum ini sarjana berteori politik baharu selepas sokongan orang Melayu beralih kepada pembangkang.

Namun sekarang muncul lagi teori lebih baharu. Teori mana pula mahu digarap bagi menggambarkan kondisi sekarang. Biarlah sarjana dan professor di pusat pengajian tinggi berwacana bagi meleraikan teori terbaharu.

Kejutan

Kejutan demi kejutan berlaku di era Malaysia Baharu sekarang. Umno dan BN tidak pernah bermimpi untuk tinggalkan Putrajaya selepas 61 tahun memiliki segala kuasa. Begitu PKR, DAP, Bersatu dan PAN tiba-tiba bergelar menteri dan menteri besar.

Lawak Mohamad Sabu untuk menjadi Menteri KDN akhirnya berjaya mengepalai Kementerian Pertahanan. Mimpi apakah itu. Kerana mimpi inilah dalam banyak situasi menteri agak sukar untuk menjawab soalan di parlimen.

Kata seorang pegawai, ketika mereka berada di kerusi pembangkang begitu petah bercakap. Namun sekarang selepas bergelar menteri nampak kekok dan janggal pula.

Agak ketara seorang Timbalan Menteri begitu kepayahan menjawab isu berbangkit pada penggulungan di parlimen petang tadi. Apakah situasi itu berlaku kerana ada menteri tidak memiliki kelayakan ikhtisar.

Sebelum ini rakyat dikejutkan ada pemimpin berdolak dalih mencatat kelayakan yang tidak mereka miliki. Kronologi yang berlaku itu memberi ruang rakyat menilai kerajaan PH seperti sukar mengulangi rekod usia kerajaan BN.

Lebih-lebih lagi isu demi isu berlengkar dalam kalangan orang Melayu, agama Islam dan Raja-raja Melayu. Ia berputar ligat. Tiba-tiba muncul individu yang berani mempersendakan junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Begitu juga hasrat pemimpin PH mahu meratifasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Belum pun isu ICERD berpenghujung, tiba-tiba ada kemahuan menandatangani Statut Rom pula.

Malang sungguh Malaysia Baharu belum sempat mencipta kelainan, ada pihak yang berada sebumbung mengeluarkan kenyataan menguris perasaan orang Melayu.

Entah ribut dari mana pengerusi SPR Azhar Harun mempersendakan

rakyat Kelantan. Dikaitnya rakyat Serambi Mekah yang berada di Kuala Lumpur dengan kelab malam.

Lebih mengaibkan lagi apabila disebut semasa balik mengundi mereka sokong hudud. Siapa yang hendak kita salahkan. Apakah ia dibuat secara kebetulan.

Namun ia muncul hanya beberapa hari selepas Adun DAP Perak Chong Zhemin mempertikaikan langkah kerajaan Kelantan tidak membenarkan panggung wayang beroperasi.

Nasib malang bagi PH ketika berkial-kial mencipta kejayaan, orang di sekeliling pinggang pula membuat onar. Benarlah kata orang tua-tua, seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit. – HARAKAHDAILY 27/3/2019