Sukan dart patuh syariah di Kelantan

KOTA BHARU: Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) akan menganjur Kejohanan Sukan Dart patuh syariah Sabtu ini sebagai menyahut seruan kerajaan negeri.

Advertisement

Ketua Pegawai Eksekutif PKINK Abdul Aziz Yunus berkata, budaya sukan patuh syariah diharap dapat memupuk nilai positif daripada kejohanan itu.

Katanya, kejohanan berkenaan akan turut disertai Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan bersama 30 kelab lain dari seluruh Malaysia.

“Kejohanan yang menawarkan hadiah secara keseluruhan bernilai RM10,000 itu disertai 100 regu yang bakal berentap merebut Piala Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan,” katanya pada sidang media semalam.

Juara pertandingan akan membawa pulang wang tunai RM2,500 bersama piala, naib juara RM1,000 bersama medal, di samping tempat ketiga dan keempat mendapat RM500 dan medal.

Abdul Aziz juga berkata, sempena program berkenaan KTC Convention & Apartment Sdn. Bhd menawarkan makanan dan minuman harga istimewa pada 30 Mac ini.

Antara menu agak unik iaitu masakan ikan puyu yang merupakan sebahagian makanan eksotik di Kelantan.

“Kita bersetuju memberi harga istimewa makanan dan minuman, yang agak unik di KTC pada Sabtu ini,” katanya.

Cabutan bertuah berbentuk hamper juga akan diadakan sepanjang kejohanan tersebut berlangsung di KTC, di mana pengunjung boleh masuk secara percuma.

Turut hadir pada sidang media itu Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PKINK Nik Kamil Amirah Nik Abdul Rahman dan Pengurus Kejohanan Sukan Dart Piala Ketua Pegawai Eksekutif, Phakhruddin Abdullah. – HARAKAHDAILY 27/5/2019