Menteri tidak patuh maqasid?

YB Menteri memaklumkan dalam jawapan bertulis Parlimen, syarikat tujuan khas (SPV) yang memegang sejumlah aset Lembaga Tabung Haji setakat ini masih belum mempunyai pengurusan dan ketua pegawai eksekutif (CEO).

Advertisement

syahir2Dalam jawapannya terhadap soalan Ahli Parlimen Pendang (PAS), YB Menteri berkata buat masa ini segala urusan syarikat Urusharta Jamaah Sdn Bhd dikendalikan sepenuhnya oleh sebuah syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc), iaitu Prokhas Sdn Bhd.

“Prokhas Sdn Bhd adalah entiti milik kerajaan yang turut menguruskan SPV milik kerajaan lain seperti Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad, Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad dan DanaInfra Nasional Berhad,” kata beliau.

Dalam jawapan bertulis itu, YB Menteri turut menyenaraikan ahli lembaga pengarah SPV Urusharta yang menurutnya dilantik di kalangan pegawai Kementerian Kewangan yang berpengalaman dan berpengetahuan luas dalam bidang berkaitan.

Kami tidak berhasrat untuk mempersoalkan profesionalisme PROKHAS dalam menguruskan aset umat Islam bernilai RM19.9 bilion, walaupun hakikatnya TABUNG HAJI adalah lebih profesional dalam aspek ini.

Menurut laman web Tabung Haji, “Setelah lebih 50 tahun beroperasi, TH kekal sebagai institusi ikonik Malaysia dengan menempa pelbagai kejayaan dan pengalaman dalam pengurusan haji serta dana Islam yang menjadi model pelbagai institusi luar negara.

Penglibatan TH dalam pelbagai sektor pelaburan dan ekonomi adalah untuk memastikan kelangsungan dan keterlibatan umat Islam secara berkumpulan dalam pembangunan ekonomi negara.”

Namun kami terpanggil untuk mempersoalkan sikap yang ditunjukkan oleh YB Menteri, yang kelihatan ‘lepas tangan’ dan ‘sambil lewa’ dalam hal sepenting ini.

Sekiranya persoalan asas yang begitu mudah ini tidak mampu dijawab oleh YB Menteri, apalah yang boleh diharapkan jika YB Menteri diminta untuk menjelaskan maksud proses rehabilitasi aset melalui ‘warehousing strategy’ bagi memaksimumkan ‘asset recovery’ yang disebutkan (dibaca) oleh beliau di Parlimen tempoh hari.

Ini belum ditanya bilakah hibah (dividen) Tabung Haji akan diumumkan, walaupun YB Menteri berjanji akan diisytiharkan dalam bulan Mac yang hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi.

Jika inilah sikap yang ditunjukkan YB Menteri, jelas kelihatan beliau tidak profesional dan gagal mematuhi piawaian maqasid hifzud-din dan hifzul-mal yang dilaungkan selama ini.

Benar pesanan Imam Al-Ghazali, “Agama adalah asas, pemerintahan adalah penjaga. Sesuatu yang tidak memiliki asas akan hancur, dan sesuatu yang tidak memiliki penjaga akan hilang”.

SYAHIR SULAIMAN
Pengarah Strategi DPPM
28 Mac 2019 – HARAKAHDAILY 28/3/2019