MIC kerjasama dengan PAS demi rakyat

MIC1

KUALA LUMPUR: MIC secara rasmi mengesahkan bekerjasama dengan PAS dalam pelbagai aspek demi kepentingan rakyat di negara ini.

Advertisement

Pengumuman tersebut disahkan oleh Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran pada program kunjungan hormat Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ke bangunan MIC di Jalan Raja Laut di sini, hari ini.

Kunjungan Presiden PAS disertai Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan, Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Ustazah Nuridah Mohd Salleh, Timbalan DMPM, Dr Rosni Adam, Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS, N Balasubramaniam, dan beberapa lagi kepimpinan PAS Pusat ke bangunan MIC telah disambut meriah oleh Vigneswaran, Timbalan MIC, Datuk Seri M. Saravanan bersama barisan kepimpinan MIC.

Menceritakan lawatan pertama kali beliau ke Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut untuk bertemu dengan Tuan Guru Abdul Hadi, Vigneswaran berkata persepsi beliau terhadap PAS berubah serta-merta.

“Persepsi saya sebagai seorang yang telah berjumpa dan bercakap dengan Presiden PAS berubah dan pendapat saya bertukar pada hari itu.

“Saya berpendapat begini selepas mendengar penjelasan daripada Presiden PAS ini sendiri bahawa PAS memang sebuah parti yang politik dan juga parti yang berpegang teguh kepada kefahaman Islam.

“Tetapi yang menghormati prinsip perlembagaan Malaysia di mana Islam adalah agama Persekutuan dan lain-lain agama diberi kebenaran untuk mengamalkan ajaran mereka.

“Ujar Presiden PAS, kita (PAS) tidak pernah merobohkan mana-mana kuil di bawah pemerintahan kerajaan PAS seperti di Kelantan. Patung Buddha yang besar ada di Kelantan,” katanya.

Tambah beliau, hasil pertemuan itu beliau juga mendapati bahawa tuduhan oleh parti-parti yang pernah bekerjasama dengan PAS sebagai sebuah parti radikal adalah persepsi yang salah.

“Ini satu sejarah yang baru di mana bukan hanya parti MIC telah membuat keputusan tetapi parti PAS dengan kebenaran Tuan Guru Abdul Hadi telah bersetuju untuk bekerjasama dengan MIC,” katanya.

Beliau turut berbesar hati menerima jemputan dari pimpinan tertinggi PAS itu untuk hadir ke Muktamar Tahunan PAS yang bakal berlangsung tidak lama lagi. – HARAKAHDAILY 28/3/2019