PAS gerak usaha a’bangsa bebas Palestin

KUALA  LUMPUR: PAS melalui Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) terus menggerakkan usaha antarabangsa bagi membesarkan lagi agenda pembebasan Palestin.
 
Pengerusi PASRelief, Dato’ Dr Khairuddin Aman Razali dan Ahli Jawatankuasa PASRelief, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman telah menerima kunjungan aktivis kemanusiaan Palestin dari Jepun, Saul Takahashi.
 
Saul yang juga Professor di Universiti Osaka Jogakuin sebelum ini pernah berkhidmat dengan Amnesty International dan Pesuruhjaya Tinggi untuk Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu.
 
Menerusi pertemuan tersebut, Khairuddin dan Tarmizi bersama Saul membincangkan rancangan bagi merancakkan gerakan Boikot, Menghentikan pelaburan dan Sekatan (BDS) di negara ini.
 
Mereka yang juga Ahli Parlimen Malaysia turut menegaskan pendirian PAS yang menolak ‘penyelesaian dua-negara’, sebaliknya terus menyokong perjuangan rakyat Palestin dan HAMAS.
 
“Kami turut memaklumkan beberapa komitmen PAS antaranya cadangan kepada Parlimen penubuhan ‘Kaukus Parlimen untuk Palestin’ dan mencadangkan kerajaan memperluaskan fungsi kedutaan Malaysia di Kaherah Mesir.
 
“Ini untuk mengambil peranan lebih tersusun dan terfokus sebagai penjalin hubung dua hala dengan pihak berkuasa di Palestine khususnya di Semenanjung Gaza yang sedang dikepung rejim Israel,” maklum Tarmizi.
 
Tambahnya, melalui PASRelief dibawah Lujnah Antarabangsa PAS Pusat telah memulakan gerak kerja kemanusiaan dan pengumpulan dana untuk disumbangkan kepada rakyat Gaza yang sedang diserang oleh tentera rejim Israel.
 
Maklumnya, jalin hubung dengan pihak pentadbiran Masjid Al-Aqsa untuk bersama mempertahankan kesuciannya turut dibawa dalam usaha kempen Antarabangsa bahawa ia adalah hak mutlak umat Islam.
 
Hadir mengiringi kehadiran Saul Thakahashi ialah Muslim Imran dari Palestinian Cultural Organization Malaysia (PCOM) dan Kamarul Zaman Shaharul Anwar dari MyCare Malaysia. – HARAKAHDAILY 29/3/2019
Advertisement