PASTI Marang-Lumut erat mahabah dua hala

LUMUT: Jabatan PASTI Kawasan Lumut telah menerima kunjungan balas lawatan mahabah yang telah diadakan pada November tahun lepas daripada Jabatan PASTI dan Majlis Guru PASTI (MGP) Kawasan Marang, semalam.

Advertisement

Lawatan diketuai Pengerusi PASTI Marang, Fazrul Ismail bersama Ketua MGP Marang, Zubaidah Abg Ghani ini telah disambut oleh Pengerusi PASTI Lumut, Abdul Basir Mohamed bersama ahli jawatankuasanya di Jeti Lumut, di sini.

Dalam sembang santai, beliau menegaskan PASTI sebagai entiti penting menghubungkan masyarakat dengan PAS di mana Guru PASTI berperanan menggiatkan penerangan kepada waris terutamanya.

Beliau turut bersetuju serta memberi semangat untuk membuka PASTI Elit bersesuaian dengan keperluan tahap pendidikan sekarang serta permintaan semakin menggalakkan dari ibu bapa dewasa ini.

Di samping itu juga, beliau turut mengingatkan agar PASTI Kawasan mendengar keluhan dan menjaga kebajikan Guru PASTI dengan sebaiknya kerana mereka merupakan amilin teras penggerak agenda PAS.

Beliau turut menyarankan PASTI unit dapat terus memberikan khidmat terbaik buat para ibu bapa PASTI agar terus meraih kepercayaan mereka di samping mendidik anak-anak dengan akhlak Islam.

Sementara itu, sempena keberadaan di Pangkor, rombongan sempat melawat bangunan PASTI Al-Adawiyah yang telah ditubuhkan pada tahun 1998 terletak di tepi laut dan menikmati menu istimewa Laksa Mee Pangkor. – HARAKAHDAILY 29/3/2019