Pertembungan DS Anwar dan Tun Dr Mahathir

image
SAYA kerap kali ditanya oleh kawan-kawan mengenai pertembungan yang dijangka akan berlaku antara Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
Komen mudah saya adalah pertembungan antara Dato’ Seri Anwar dan Tun Dr Mahathir ini, walaupun secara fizikalnya belum berlaku, sebenarnya memang sudah berlaku.
 
Ini kerana terdapat percanggahan yang amat besar dan mendasar antara kedua-dua mereka sehubungan dengan agenda ekonomi negara membabitkan dasar afirmatif.
 
Tun Dr Mahathir berulangkali menegaskan pada 28 Februari 2018, 25 Jun 2018, 2 Oktober 2018 dan 29 Disember 2018 bahawa dasar afirmatif berasaskan kaum akan diteruskan.
 
Dato’ Seri Anwar pula menegaskan pada 25 Mac lalu bahawa dasar afirmatif tidak boleh diasaskan kepada kaum tetapi perlu diasaskan kepada keperluan (needsbased).
 
Sangat tegas dan jelas kenyataan Dato’ Seri Anwar pada 25 Mac ini: “I will not compromise on this issue – our economic agenda must be needs-based, not race-based”.
 
Perkara sama mengenai dasar afirmatif inilah juga yang berulangkali disebut oleh Dato’ Seri Anwar, antaranya pada 17 Mei 2018, 15 September 2018 dan 9 Oktober 2018.
 
Ini pelik kerana masa sama Dato’ Seri Anwar juga menyebut beliau memberikan sokongan penuh kepada Tun Dr Mahathir dan tidak akan mengganggu tugas beliau.
 
Beri sokongan penuh dan tidak ganggu tugaskah bila asyik keluarkan kenyataan yang menyanggah pendirian orang yang disokong dan yang tidak mahu diganggu itu?
 
Dato’ Seri Anwar ada menyebut bahawa penegasan beliau pada 25 Mac lalu itu tidak ditujukan kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.
 
Bagaimanapun, tanpa perlu dijelaskan kepada siapa serangan itu ditujukan pun mana-mana pengamat politik yang teliti tetap akan dapat membuat kesimpulan yang jelas.  
 
Kita nantikan sahaja perkembangan selanjutnya. – HARAKAHDAILY 29/3/2019
Advertisement