K’jaan Teknokrat: Solusi lemah urus aset M’sia

TERTARIK dengan saranan Presiden PAS agar rombakan Kabinet negara segera dilakukan ekoran kelemahan kepimpinan negara mengurus kewangan sehingga mahu melepaskan aset-aset Khazanah, MAS, Tabung Haji dan beberapa lagi. Perkara ini menunjukkan ketidakcekapan dan ketidakpakaran mereka dalam mentadbir negara.

Advertisement

Menjual aset adalah pilihan terakhir dalam mengurus sesebuah perniagaan yang bermasalah. Sekiranya mereka bijak, banyak lagi cara lain dalam meningkatkan perniagaan syarikat-syarikat terbabit seperti pengstrukturan semula hutang, kajian semula perjanjian-perjanjian dengan pihak lain, rundingan dengan rakan-rakan strategik baharu, penjenamaan semula, dasar penjimatan, penukaran kaedah transaksi dan banyak lagi.

Bahkan jika dilihat secara lebih terperinci, sebahagian daripada syarikat yang terlibat masih tidak boleh dikategorikan sebagai bermasalah. Masih boleh menjana keuntungan tahunan walaupun mungkin menurun daripada kadar sebelumnya. Banyak lagi syarikat-syarikat yang hampir diisytiharkan bankrup tetapi masih berjaya pulih tanpa melibatkan penjualan aset.

Tidak dinafikan, hasil dari penjualan aset boleh memperolehi wang segera. Tetapi akibatnya, negara akan kehilangan sumber bagi menjana kewangan jangka masa panjang. Apatah lagi jika ianya melibatkan aset berbentuk hartanah, sekiranya ia dibeli oleh pihak bukan bertaraf Bumiputera atau bukan warganegara, ia sudah melibatkan soal kedaulatan negara. Ibarat menjual masa depan negara demi keuntungan segera.

Bahasa mudahnya, kalau tidak bodoh, mesti jahat. Sekiranya tindakan menjual aset dilakukan bukan kerana ketidakcekapan mereka mentadbir, sudah tentu ianya dilakukan secara malafide dan terancang. Walau apapun, mesti diakui bahawa Kabinet baharu memang bermasalah.

Tuan Guru Presiden PAS bukan sahaja mencadangkan rombakan, malah kembali mengetengahkan idea beliau sebelum PRU14 dahulu iaitu konsep Kerajaan Teknokrat bagi menggantikan konsep pemerintahan sedia ada. Idea Kerajaan Teknokrat yang PAS usulkan secara umumnya adalah supaya badan pelaksana di dalam negara dilantik berasaskan merit dan kepakaran di dalam bidang berkaitan, tanpa mengambil kira latarbelakang politik mereka.

Sejak dahulu, pelantikan kepimpinan badan pelaksana sama ada Perdana Menteri atau Menteri Kabinet akan dipilih mengikut posisi politik. Mereka yang berada di kedudukan tinggi parti itulah yang akan berada di kedudukan tinggi kerajaan. Tanpa mengambil kira kemampuan memenuhi tanggungjawab jawatan.

Pada pemerintahan PH, perkara ini sangat jelas berlaku. Presiden PPBM sebagai PM, Presiden PKR sebagai TPM manakala Presiden PAN dan SU Agung DAP masing-masing menjadi Menteri kanan. Kelayakan mereka masih diragui ekoran timbul isu Menteri sijil palsu, Menteri tidak habis belajar dan wakil rakyat yang menipu kelayakan semasa kempen pilihan raya.

Inilah punca kegagalan Menteri untuk menghayati apatah lagi melaksanakan tugas yang mereka pegang. Menteri Pertahanan yang sepatutnya bersifat tegas dan meletakkan keselamatan negara pada prioriti utama, namun kelihatan begitu bersahaja dan tidak risau mendedahkan maklumat sulit pertahanan kepada umum. Menteri Kewangan pula boleh tersilap titik perpuluhan dan tersilap mengumumkan jumlah sebenar hutang negara yang mengakibatkan bursa Malaysia mengalami kejatuhan teruk.

Idea Kerajaan Teknokrat wajar diketengahkan. Dalam keterbasan kuasa yang ada, PAS telah melakukan percubaan di Negeri Terengganu. Walaupun MB Terengganu juga seorang AJK PAS Pusat, tetapi pemilihan beliau sebagai MB bukan kerana jawatan di dalam parti tetapi kerana latarbelakang yang dimiliki sebagai lulusan PhD bidang aeroangkasa, selain pengalaman di bidang akademik.

Model Kerajaan Teknokrat tidak sekali-kali menggambarkan teknokrat yang dilantik menjadi lebih berkuasa daripada parti yang memenangi pilihan raya. Model tersebut akan dilapisi dengan konsep parti menguasai kerajaan. Parti masih berada di atas, tetapi bidang kuasanya terhad kepada penentuan berkaitan perkara dasar dan polisi tanpa mencampuri urusan teknikal pentadbiran.

Secara hierarki, Pesuruhjaya atau Pengerusi Perhubungan Negeri di peringkat Negeri dan Presiden atau Pengerusi parti di peringkat nasional berada pada carta teratas dari segi eksekutif. Manakala PM atau MB berada di bawah dan perlu patuh kepada polisi dan dasar yang digariskan parti. Walau bagaimanapun Presiden dan PJ tidak berhak mencampuri urusan teknikal pentadbiran.

Sekali lagi Terengganu boleh dijadikan contoh konsep yang dinyatakan. Pemisahan kuasa yang jelas antara parti dan kerajaan walaupun dari pihak yang sama lebih menggambarkan semangat demokrasi, ketelusan dan mewujudkan suasana semak dan imbang yang baik. Inilah rahsia kehebatan pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu yang dilihat hari ini.

PAS akan terus memacu politik negara dengan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS). Kriteria ketiga BPMS adalah politik mengemukakan solusi bukan mengkritik dan menyalahkan semata-mata. Kerana persaingan politik bukan soal kuasa semata-mata. Politik adalah wadah bagi menjaga kestabilan negara dan kemaslahatan rakyat.

(ALANG IBN SHUKRIMUN)
24 Rajab 1440
30 Mac 2019 – HARAKAHDAILY 30/3/2019 

FB IMG 1553955656539