PAS kerah jentera seluruh negara bantu Tok Mat

SEREMBAN: Jentera PAS dari seluruh negara akan dikerahkan turun berkempen untuk calon Barisan Nasional (BN), Dato’ Seri Mohamad pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Rantau.

Advertisement

Menurut Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Ahmad Samsuri Moktar dengan kerjasama erat antara Umno dan PAS, Mohamad mampu mempertahankan kerusi tradisinya.

“Kita ada strategi khusus untuk memastikan kemenangan di pihak Mohamad.

“Antaranya kita akan gunakan peranan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) secara “all out” berikutan demografi komposisi penduduk di sini yang amat berbeza di sini.

“Saya percaya DHPP juga telah merangka strategi untuk membantu berkempen di sini,” katanya kepada Harakahdaily.

Katanya, PAS juga telah mengeluarkan arahan mewajibkan semua pengundi PAS di Rantau mengundi calon BN.

Beliau percaya Mohamad yang mesra dengan panggilan Tok Mat layak mengekalkan kerusi di Dun Rantau berikutan pelbagai pembangunan yang telah dilakukan demi rakyat Dun Rantau.

Tambah Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu, rakyat Dun Rantau telah menyaksikan sendiri kepimpinan Mohamad dan seharusnya figura ini adalah layak menjadi wakil rakyat di sini.

PAS, katanya akan sentiasa komited membantu kempen secara matang dan sejahtera.

Beliau berharap Pakatan Harapan berkempen dengan sebaik-baiknya mengikut lunas demokrasi.

“Kita harap elakkan budaya fitnah-memfitnah dalam sebarang aktiviti sebagai memberi keharmonian yang lebih baik sepanjang kempen ini berlangsung,” ujarnya.

Selain Samsuri, Naib Presiden dan Setiausaha Agung PAS, Ustaz Idris Ahmad, Dato’ Iskandar Samad dan Dato’ Takiyuddin Hassan antara yang diberi kebenaran menemani calon untuk masuk ke pusat penamaan calon di dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Seri Sendayan di sini. – HARAKAHDAILY 30/3/2019