SAR peserta GUT hilang berakhir tengahari tadi

GOPENG: Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) peserta Gopeng Ultra Trail (GUT) yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu telah ditamatkan pada jam 12 tengah hari tadi.

Advertisement

Terdahulu semalam, pihak berkuasa mengumumkan keputusan tersebut setelah usaha lanjutan diadakan bermula Rabu lalu hingga hari ini sejak SAR awal dilancarkan Sabtu lalu.

Mengulas mengenai arahan tersebut, Pengarah Jabatan Amal Malaysia (JAM) Negeri Perak, Arif Shaarani berkata, pihaknya akur, namun sedia bertugas pada bila-bila masa jika diperlukan.

Mangsa, Mohammad Ashraf Hassan, 29, dari Muar, Johor adalah antara 485 peserta larian sejauh 25 kilometer acara tersebut yang bermula dan berakhir di Gua Tempurung, 23 Mac lalu.

Operasi ini melibatkan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Turut serta dalam operasi bersepadu itu adalah Unit Anjing Pengesan (K9) dan NGO termasuk dari pelbagai persatuan pendaki, juga penduduk setempat.

Semalam, JAM Kawasan Gopeng menggiatkan kolaborasi seluruh kekuatan operasi dengan penglibatan bersama penduduk kampung berdekatan yang diketuai Imam Kamalullail Shaari.

Kebanyakan mereka yang merupakan ahli kariah Masjid Lama Gopeng bersama anggota JAM memasuki kawasan operasi bermula jam 5:00 petang dan berakhir jam 8:45 malam.

Difahamkan, pencarian menjadi semakin sulit berikutan penglibatan ramai dalam SAR tersebut menjadikan jejak awal kehilangan mangsa sukar dikenal pasti.

Disamping kerahan tenaga yang dicurahkan dalam operasi itu, JAM Gopeng juga menggandakan usaha dan harapan dengan mengerjakan solat sunat hajat di puncak Bukit Batu Putih. – HARAKAHDAILY 30/3/2019

IMG 20190330 WA0016

 

IMG 20190330 WA0017

 

IMG 20190330 WA0018