Siku dan lutut politik (8)

●     PENGERUSI DAP Sabah yang juga Ahli Parlimen Sandakan, Stephen Wong, meninggal dunia. Takziah kepada keluarga mendiang.

Advertisement

●     Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Meng, mengarahkan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaludin, memohon maaf atas perkataan Taliban yang dikeluarkan oleh Khairy dalam sidang Parlimen semalam. Ia menyalahi peraturan Parlimen dakwa Nga walaupun dakwa Khairy, beliau sudah menarik balik perkataan itu. Balas Khairy pula, beberapa kali perkataan bodoh dikeluarkan oleh MP kerajaan, tidak diarah ditarik balik oleh Nga atas alasan perkataan bodoh itu tidak ditujukan kepada sesiapa, sedangkan ia perkataan unparlimentary. Jelutong juga sewenang-wenangnya membicarakan kes yang sedang dalam pertimbangan mahkamah, tambah Khairy.

Pertama aku cuma nak maklumkan kepada Khairy, begitulah perangai beberapa Speaker Dun di Terengganu sedikit waktu dahulu, ketika BN berkuasa. Sakitnya hati bila segala sumpah seranah oleh BN kepada PAS, tidak diarahkan ditarik balik. Boleh lihat kembali bagaimana Dato Che Mat Jusoh dan juga Dato Tengku Putera berperanan. Maka Nga juga tak ubah seperti itu. Pun begitu, kepada sesiapa sahaja Speaker yang tidak adil dalam mengawal sidang, mereka tidak layak duduk di kerusi itu dan memakai jubah Speaker.

Lihat sendiri air muka Nga ketika mempengerusikan sidang Parlimen. Penuh dengan memek kedendaman dan kebencian. Dan jangan kita lupa juga aksi Nga dalam Dun Perak.

●     Ada video yang disebarkan berkenaan Exco Melaka mengamuk. Dalam video itu, memperlihatkan Exco tersebut hilang sabar dengan salah seorang penarik beca yang dapat dikatakan sebagai cuba membuat provokasi, sambil merakam video.

Perbuatan sebaran itu bagi aku tidak bermoral, kerana cuba dengan sengaja mendedahkan keaiban orang. Tak cerdik. Tapi kerana ia dilakukan oleh penarik beca, mungkin boleh difahami yang hal sedemikian, tidak pelik bagi mereka. Lebih seronok untuk mereka menontonnya dan menyebarkannya. Tetapi ada dari kalangan penarik beca yang baik, mendakwa penular video itu memang perangai teruk. Jadi Exco kena belajarlah bagaimana nak kawal diri. Jangan semua orang nak dilayan. Jauh sangat level itu. Tapi kalau rasa sama standard, terserahlah, boleh teruskan berlawan.

Dalam sidang Dun Melaka pula, ada video bekas KM Melaka, Dato’ Idris Haron, Adun Sungai Udang bertekak dengan Exco berkenaan. Tetapi lebih dilihat Sungai Udang mahu merendah-rendahkan Exco berkenaan yang diketahui tahap pelajarannya kelulusan biasa. Dato’ Idris, ambillah contoh PAS Terengganu. Ketika penggal lalu, ada juga Exco Terengganu yang diragui kelulusan SPM-nya. Aku yang bertugas membuat liputan sidang Dun, juga tumpang senang hati kerana pasti banyak bahan untuk memperbodohkan BN melalui Exco tadi.

Tetapi tahukah anda yang Adun PAS Terengganu sepakat, tidak mahu memalukan Exco itu. Jangan ditulis yang menghina pesan mereka kepada aku, kerana Allah tidak suka penghinaan. Begitu Islam ajar. Tiada satu pun viral video menunjukkan kebodohan Exco itu oleh Adun PAS. PAS Terengganu hanya menumpukan kepada penyelewengan kepada duit rakyat, contoh jika Exco itu mengaku yang beliau mempunyai ijazah, sedangkan tidak, barulah PAS akan dedahkan sebagaimana Menteri PH sekarang. Dan, Exco itu juga memilih jalan bijak dengan tidak berkelahi dengan sesiapa pun, jadi selamat. Bukan macam Exco di Melaka itu.

●     Menteri PH, Zuraida Kamarudin dipuji oleh ramai MP dari BN dalam sidang Parlimen ketika memberikan jawapan kepada beberapa persoalan berkenaan dengan projek perumahan rakyat di kawasan masing-masing. Baling, Kota Tinggi, Lenggong, Tanjung Karang, Kuala Krau, bergilir-gilir mengucapkan terima kasih kepada beliau atas jawapan yang sangat sopan santun, serta memenuhi semua kehendak penanya. Banyak pihak memuji keberadaban sesi soal jawab sebegitu. PH pastinya lebih bangga kerana pujian datangnya dari pembangkang. Mengambil positif terhadap sesuatu yang baik walaupun dari musuh.

Itulah BPMS yang PAS bawa. Puji apa yang patut dan benar, lawan apa yang menyeleweng. Sudah banyak kali dilakukan oleh PAS, sejak lama dahulu. Tetapi sayang, datanglah idea walau sebaik manapun, asalkan dari PAS, mesti difitnah tak kira sewaktu BN mahupun PH berkuasa. PH paling kuat menentang jika dahulu PAS setuju dengan BN atas perkara baik. Sedangkan PAS utamakan rakyat.

●     Adakah anda rasa yang bukan Islam mahu menyerahkan wang tabung amanah atau aset bagi tujuan agama mereka kepada orang Islam sebagaimana aset TH yang pada asas tujuannya ialah untuk menunaikan rukun Islam kelima? Kalau anda jawab ya, maknanya anda mungkin di bawah pengaruh ketum atau ganja ketika menjawab soalan ini.

Harapnya janganlah nanti jika ada majlis agama negeri atau jabatan agama negeri ada masalah kewangan, ia diserahkan kepada bukan Islam untuk menjaganya pula. Manalah tahu, nanti dia guna balik motto Kafir yang amanah lebih baik dari Muslim yang korup, mampuih kita.

MOHD NASIR ABDULLAH 
Al-Khor, Qatar – HARAKAHDAILY 1/4/2019