Iktiraf UEC: Kecelaruan antara kaum

shahir3

DEWAN Pemuda IKATAN Malaysia menzahirkan rasa kecewa dengan kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, yang membuat pengumuman mewakili Peguam Negara, Tommy Thomas, bahawa Peperiksaan Amalan SIjil Guaman (PSAG) akan menerima pakai kelayakan UEC pada tahap Senior Middle 3 bermula 1 Januari 2021.

Advertisement

Ini bermakna, kelayakan Sijil Peperiksaan Bersepadu atau UEC pada tahap Senior Middle 3 boleh diterima memenuhi syarat kelayakan di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi menduduki Peperiksaan Amalan Sijil Guaman. Secara automatiknya UEC dilihat boleh menggantikan pendidikan nasional STPM.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia berpendirian bahawa Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan bertukus-lumus memperjuangkan agenda UEC. Persoalannya, apa itu UEC dan sejarah UEC? Rakyat seluruh Malaysia perlu mendalami sejarah UEC itu sendiri.

Isu pengiktirafan sijil ini hangat diperdebatkan oleh semua gologan masyarakat, termasuk golongan pendidik dan pengkaji sejarah tanah air. Amat malang apabila UEC juga menjadi alat politik Pakatan Harapan untuk meraih sokongan kaum Cina. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia ingin menekankan bahawa isu UEC adalah isu pendidikan nasional, bukannya isu politik atau perkauman.

Selepas negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, kerajaan pada ketika itu sedar bahawa pendidikan merupakan alat terbaik untuk menyatupadukan semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan bangsa. Bagi tujuan perpaduan nasional, kerajaan mencadangkan penyatuan sistem pendidikan yang terdiri daripada pelbagai aliran.

Kerajaan Malaysia akan membiayai segala kos pendidikan sekolah-sekolah dan mengawal sukatan pelajaran agar mengikut standard yang sama. Namun, usaha ini ditolak segelintir masyarakat Cina hingga mereka membentuk Sekolah Persendirian Cina, di bawah Dong Zong.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia berpandangan adalah tidak adil kepada seluruh rakyat Malaysia yang lain, terutama berbangsa Cina yang melanjutkan pelajaran ke Sekolah Jenis Kebangsaan sekiranya kerajaan mengiktiraf dan memberi layanan sama rata kepada lepasan sijil UEC-SML seperti lulusan sijil pendidikan nasional, SPM dan STPM untuk kemasukan ke institusi pengajian awam.

Menteri Pendidikan masih mahu melakukan kajian terperinci, tetapi Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, telah mendahului membuat pelbagai pengumuman satu pihak unilateral. Jelas bahawa Menteri Pendidikan kini dilihat tidak bermaya dalam menangani isu UEC apabila didesak oleh “abang besar”.

Dasar Pendidikan Kebangsaan kini dilihat telah diperkotak-katikkan apabila Sekolah Persendirian Cina yang menolak bahasa kebangsaan, Bahasa Melayu, sebagai bahasa pengantar sukatan pelajaran, telah diiktiraf.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia juga mendesak Menteri Pendidikan untuk mengeluarkan kenyataan media, bukan berdolak-dalik mengelak soalan wartawan apabila ditanya isu besar sebegini. Implikasi kepada sistem pendidikan negara kita amat besar.

Jika diiktiraf, Malaysia bakal mempunyai dua sistem pendidikan kebangsaan yang mempunyai silibus pendidikan dan bahasa pengantar yang berbeza. Bagaimanakah perpaduan nasional diwujudkan apabila anak-anak kita dipisahkan melalui sistem pendidikan?

Demi Bangsa Malaysia!

SHAHIR ADNAN
Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia
1 April 2019 – HARAKADAILY 1/4/2019