Pemergian Ustaz Khairuddin sangat dirasai

DEWAN Pemuda PAS Padang Terap merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Ustaz Mohd Khairudin Ahmad, 34, yang tinggal di Kampung Kubang Palas, Kuala Nerang, telah menghembuskan nafasnya yang terakhir kerana lemas di sungai berhampiran Sham Feritigasi, Simpang Empat pada petang ini.

Advertisement

Sesungguhnya pemergian Allahyarham merupakan kehilangan yang amat dirasai oleh kami kerana istiqamah dan komitmen beliau dalam perjuangan Islam.

Allahyarham merupakan ketua penerangan pada sesi lalu, dan ketua lajnah tarbiah pada sesi ini dalam Dewan Pemuda PAS Padang Terap dan juga Pengerusi PASTI Al-A’la Kampung Kubang Palas Kuala Nerang. Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak.

Sikap yang sentiasa tawaduk, ringan tulang, sentiasa senyum, sentiasa berada di mana-mana program PAS sambil menjual air Nira, sangat meruntun hati apabila mengenangkan saat-saat ketika bersama Allahyarham.

Semoga sikap istiqamah Allahyarham dalam perjuangan Islam, mewariskan pula semangat perjuangan kepada generasi pemuda yang masih hidup.

Takziah kami ucapkan kepada ahli keluarga Allahyarham. Semoga keluarganya sabar dengan kepulangan Al-Marhum ke Rahmatullah serta didoakan semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Al-Fatihah

NURUL AMIN HAMID
Ketua Dewan Pemuda PAS Padang Terap
1 April 2019 – HARAKAHDAILY 1/4/2019