UEC: AG gopoh, tak hormati sistem berkerajaan

MAJLIS Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan gabungan 350 NGO UMMAH menyokong penuh nota bantahan yang dikemukakan oleh tokoh budaya dan sejarawan negara Tan Sri Dr Rais Yatim dan kenyataan yang dikeluarkan oleh Prof Datuk Dr Teo Kok Seong serta NGO-NGO pendidikan berhubung membantah kenyataan pengiktirafan UEC bagi tujuan peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP).

Advertisement

MAPPIM dan UMMAH berpendirian bahawa;

1. Peguam Negara bersikap tergopoh gapah dengan mengumumkan bahawa beliau mengiktiraf pemegang sijil UEC bagi tujuan menduduki peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP).

2. Kenyataan Peguam Negara diambil kesempatan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dan terperangkap dalam agenda kepartian dan keputusan kerajaan.

3. Peguam Negara tidak menghormati Pasukan Petugas Pengkaji Dasar UEC yang dilantik oleh KPM dan Menteri Pendidikan yang baru membuat kenyataan bahawa cadangan akan diberikan kepada pihak kerajaan.

4. Kenyataan sokongan Timbalan Menteri Pendidikan menyokong Peguam Negara seolah-olah beliau sendiri tidak menghormati KPM dan Menteri Pendidikan.

5. Peguam Negara juga tidak menghormati sistem berkerajaan di mana perkara-perkara yang masih dalam kajian dan pertimbangan tidak perlu diumumkan serta dipolemikkan.

6. Peguam Negara juga tidak menghormati Perdana Menteri dan kabinet dan keputusan rasmi kerajaan dengan membuat pengumuman tersebut.

7. Peguam Negara menjatuhkan kredibiliti sistem manual dan proses pengurusan keputusan kerajaan.

8. Amat malang Peguam Negara kelihatan sangat tamak dan terbawa-bawa dengan agenda keputusan parti dan tidak dapat membezakan antara keputusan parti dan keputusan kerajaan. Ini menambahkan lagi kecelaruan dalam proses pentadbiran kerajaan.

MOHD ZAI MUSTAFA
Ketua Eksekutif MAPPIM
Ahli Jawatankuasa UMMAH – HARAKAHDAILY 1/4/2019