RM100K parlimen pembangkang, PH RM1.8 juta

KUALA  LUMPUR: Pembiayaan kecil RM100,000 diperuntukkan kepada kawasan Ahli Parlimen pembangkang oleh Kerajaan Persekutuan sama sekali tidak menggambarkan prinsip keadilan negara demokrasi dan sebagaimana janji manifesto PH.
 
Bahkan, perbezaan ketara diperuntukkan kepada Ahli Parlimen kerajaan iaitu RM1.8 juta disifatkan Dato’ Che Abdullah Mat Nawi (PAS – Tumpat) sebagai diskriminasi kepada rakyat yang telah membuat pilihan pada PRU.
 
“Sepatutnya keadilan diberikan kepada semua rakyat sama ada rakyat memilih pembangkang ataupun memilih wakil rakyat daripada kerajaan. Jadi, sama ada RM100,000, RM200,000, RM500,000 ini, ia akan pergi kepada rakyat, bukan pergi kepada wakil rakyat.
 
“Jadi, rakyat diberikan kebebasan sepenuhnya untuk memilih siapa yang akan menjadi wakil rakyat mereka tanpa merasakan kiranya mereka memilih daripada parti pembangkang mereka tidak mendapat peruntukan yang sepatutnya dan sebagainya.
 
“Inilah sebenarnya perubahan yang diharapkan oleh rakyat Malaysia. Rakyat memilih PH kerana janji mereka mahu melihat satu perubahan politik dalam negara ini, makna setelah 60 tahun ditadbir oleh Umno,” ujarnya pada Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini semalam.
 
Beliau turut membacakan janji dalam manifesto PH berhubung pembiayaan kepada wakil rakyat iaitu, “Pembiayaan berdasarkan formula yang telus akan diberikan kepada semua Ahli Dewan Rakyat untuk membolehkan mereka menjalankan tugas dan mengurus pusat khidmat masing-masing.”
 
Berikutan pertikaian dibangkitkan beberapa Ahli Parlimen kerajaan yang mendakwa Kerajaan Negeri Kelantan tidak memperuntukkan pembiayaan kepada Adun pembangkang, Dato’ Che Abdullah bangun menyangkal tuduhan tersebut.
 
Namun tegasnya, Kerajaan Persekutuan sepatutnya menjadi contoh di mana perubahan yang hendak dibuat seharusnya dimulakan di Parlimen yang bermakna pelaksanaannya memberikan keadilan kepada semua.
 
“Maka kita menuntut negeri-negeri lain juga menggunakan kaedah yang sama, ini adalah merupakan perjuangan rakyat. Jadi sepatutnya itulah yang dibawa oleh Kerajaan PH pada hari ini,” kemukanya.
 
Sepanjang ucapannya itu, beliau turut berhadapan gangguan oleh Sanisvara Nethaji Rayer Rajaji (PH – Jelutong) yang berkali-kali mengait dan mengisukan pembiayaan tersebut dengan kepartian.
 
Namun, Dato’ Che Abdullah tegas menyatakan dan meminta Timbalan Yang di-Pertua Dewan memahamkan Jelutong bahawa pembiayaan tersebut adalah dari wang Kerajaan Malaysia dan rakyat negara ini. – HARAKAHDAILY 2/4/2019
Advertisement