Peruntukan MP: Dulu PH kecam BN

khairuddinattakiri

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menasihati Kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya bersikap adil dalam pengagihan peruntukan kepada semua ahli parlimen.

Advertisement

Menurutnya, kerajaan PH perlu adil dalam menyalurkan peruntukan kepada semua ahli parlimen kerana peruntukan tersebut untuk rakyat.

“Peruntukan yang diberi oleh Persekutuan bukan masuk dalam poket kami pun, ia masuk poket rakyat. Rakyat di Kuala Nerus ada 80,000 orang yang berhak mendapat peruntukan sewajarnya daripada Persekutuan.

“Dulu PH menjadi pembangkang mengecam BN kerana tidak memberi peruntukan yang adil. Kenapa hari ini perlu mengulangi kembali kesilapan yang dibuat oleh BN,” katanya ketika perbahasan usul Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2018) 2019 dan usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Tambahan Pertama 2018 di bawah Jawatankuasa Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau memetik ayat Al-Quran dalam surah An-Nisa’ yang bermaksud, “jangan sampai kebencian kamu kepada mana-mana kaum sehingga kamu tidak berlaku adil”.

Katanya, kerajaan PH dalam janji manifestonya apabila PH menang dalam pilihan raya, akan menyalurkan dana kepada semua ahli parlimen dengan telus.

“Ini adalah isu janji manifesto. Sebagai seorang Muslim oleh kerana ketua kerajaan seorang Muslim, ahli parlimen ada Muslim dan kerajaan juga meletakkan Islam, perlu melaksanakan janji kerana ia tuntutan syariat.

“Kalau tidak mahu bagi, tidak apa. Sekiranya (PH) rasa sanggup tanggung di akhirat. Silakan! teruskan. Kami di peringkat pembangkang tiada apa, boleh cari dana sendiri untuk membantu rakyat kami,” katanya dengan berhikmah.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil bangkit mencelah mengatakan sebagai langkah pertama mendapat RM100,000 lebih baik daripada tidak dapat langsung.

Menjawab celahan tersebut, Khairuddin mengucapkan tahniah kepada PH kerana menyalurkan dana RM100,000 kepada pembangkang.

Namun, beliau mengucapkan takziah kepada PH kerana gagal memberi baki yang sepatutnya kepada semua ahli parlimen.

Dengan nada sinikal beliau berkata, sekiranya berjaya kerjakan kewajipan fardu solat subuh, jangan rasa bangga, kerana ada empat lagi solat yang belum dibuat.

“Maka tunaikan semua kewajipan itu kerana itu lambang seorang Muslim yang baik,” katanya.

Polemik ini timbul apabila ahli parlimen di pihak kerajaan mendapat peruntukan RM1.8 juta berbanding ahli parlimen pembangkang hanya mendapat RM100,000. – HARAKAHDAILY 3/4/2019