Najib pergi Sendayan malam ini

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak akan turun pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Rantau, malam ini.

Advertisement

“Ada siapa-siapa mengidam nak makan tomyam? Malam ini, jom! Saya nak pergi Shamiera Tomyam di Bandar Sri Sendayan, 9.30 malam nanti,” ujarnya menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

Ahli Parlimen Pekan menambah, pada jam 11.00 malam pula beliau turun bersama jentera BN berjumpa penduduk di Bilik Gerakan PDM Sendayan di Felda Sendayan.

“Ikut sekali ok? Moh bersamo bossku nyokong tok mat!” tulisnya lagi.

PRK Rantau menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN, Dato’ Seri Mohamad Hasan, Dr Streram a/l Sinnasamy (PH) serta dua calon Bebas, Malarvizhi A/P M Rajaram dan Mohd Nor Yassin.

PRK Dun Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), terbatal dan tidak sah.

Pada PRU14, Mohamad menang tanpa bertanding kerusi berkenaan selepas Dr Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon kerana tidak memiliki pas dikeluarkan SPR Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

SPR menetapkan hari mengundi PRK Rantau pada 13 April manakala pengundian awal 9 April. – HARAKAHDAILY 4/4/2019