Terengganu proaktif membela wanita

ALHAMDULILLAH, berakhir sudah sidang Dun Terengganu bagi penggal kedua yang berlangsung dalam suasana yang cukup harmoni, cemerlang dan profesional.

Advertisement

zuraidaWakil kerajaan serta pembangkang berbahas dengan fokus terarah kepada satu matlamat dan tujuan iaitu untuk merealisasikan misi Terengganu Maju Berkat Sejahtera.

Kerajaan Negeri Terengganu dilihat proaktif membantu wanita dan tidak memandang rendah peranan kaum hawa sebagai komponen utama di dalam masyarakat.

Selain mewujudkan posisi Adun Wanita, kerajaan di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar dilihat sebagai sebuah kerajaan yang cukup cakna terhadap keperluan golongan ini.

Ini dapat dibuktikan melalui intipati Bajet 2019 Negeri Terengganu.

Peruntukan khusus sebanyak RM2 juta buat Tabung Siti Khadijah bakal membantu golongan wanita dan ibu tunggal meningkatkan ekonomi melalui perniagaan dan keusahawanan.

Selain itu, kebajikan anak-anak dari perceraian keluarga juga diambil kira dengan peruntukan RM1 juta Tabung Ta’min Hadhanah.

Seterusnya, penaiktarafan dewan dan pusat rekreasi mesra muslimah yang telah dibentangkan dalam Bajet 2019 yang lalu telah mendapat respons daripada pihak kerajaan untuk berusaha mempercepatkan supaya kemudahan ini dapat digunakan oleh wanita dalam masa yang terdekat.

Kesungguhan kerajaan negeri untuk meningkatkan lagi penyertaan wanita di dalam pembangunan secara lebih berkesan, sistematik dan bermakna wajar dipuji.

Memandangkan wanita memainkan peranan yang penting di dalam dan di luar rumah serta merupakan sumber ekonomi yang penting, kerajaan negeri sangat meraikan cadangan untuk menjadikan wanita sebagai rakan yang sama penting dalam usaha membina Negeri Terengganu yang maju, berkat dan sejahtera.

Oleh itu, semua wanita di Terengganu perlu mengambil peluang dengan pelbagai inisiatif yang telah disediakan oleh kerajaan negeri untuk memajukan diri dan keluarga sejajar dengan matlamat yang telah digariskan oleh pihak kerajaan.

“Terus Maju Wanita Terengganu”

YB ZURAIDA MD NOOR
Adun Wanita Terengganu
04 April 2019 – HARAKAHDAILY 4/4/2019