Ucapan Rafidah membahaya akidah

PADANG SERAI: Ungkapan Tan Sri Rafidah Aziz agama urusan peribadi dan tidak seharusnya diukur secara luaran dibimbangi boleh menjejaskan akidah sebagai seorang Muslim.

Advertisement

Ketua Dewan Muslimat PAS Kedah, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, kenyataan yang dikeluarkan bekas menteri terbabit menunjukkan kedangkalan mengenai agama Islam.

“Saya rasa kasihan kepadanya. Mungkin kerana kurangnya pengetahuan agama dia sanggup mengeluarkan kata-kata yang membahayakan akidahnya sendiri.

“Sedangkan tuntutan menutup aurat termasuk memakai tudung adalah hukum dari Allah SWT tanpa ada keraguan lagi,” kata beliau di sini.

Baru-baru ini, pada program Bicara Minda anjuran Karangkraf, Rafidah dilapor berkata, suaminya tidak pernah meletakkan peraturan berkaitan pemakaian tudung.

Siti Ashah berkata, bekas menteri terbabit disaran merujuk al-Quran dan Hadis sebelum mengeluarkan kenyataan berhubung hukum agama kerana bimbang ia menimbulkan implikasi terhadap pegangan akidahnya. – HARAKAHDAILY 4/4/2019