Hibah 1.25%: 6 persoalan rakyat perlu tahu

SELURUH rakyat Malaysia pastinya gempar dengan pengisytiharan Hibah Tabung Haji sebanyak 1.25% yang dibuat YB Dr Mujahid Yusof Rawa iaitu kadar terendah dalam sejarah Tabung Haji (TH)!

Advertisement

asyraf wajdiSeperti dijangkakan YB Menteri menggunakan naratif menyalahkan Kerajaan dan pengurusan terdahulu yang kononnya melakukan manipulasi akaun dan salah guna kuasa hingga selama 5 tahun berturut-turut mengisytiharkan hibah yang tinggi kepada pendeposit.

Sebelum pihak menteri dan pengurusan baharu TH meneruskan permainan menyalah (blame game), lebih baik mereka bersikap telus kepada rakyat untuk menjelaskan beberapa persoalan penting yang membawa kepada pengisytiharan hibah yang terendah ini:-

1. Mengapakah TH hanya mengagihkan RM913 juta sahaja kepada pendeposit sedangkan mereka mengumumkan keuntungan boleh agih bagi tahun kewangan 2018 sebanyak RM2 bilion?

2. Ke manakah baki keuntungan RM5.8 bilion hasil penjualan aset-aset berharga TH kepada Syarikat SPV Urusharta Jemaah Sdn Bhd? Sebagaimana laporan YB Menteri sebelum ini jumlah aset bernilai RM10 bilion telah berjaya dijual pada nilai RM19.9 bilion. Sekiranya keuntungan ini digunakan untuk menutup defisit RM4.1 bilion aset pada tahun 2017, maka ianya masih berbaki RM5.8 bilion. Namun begitu, TH hanya mengisytiharkan RM2 bilion sahaja keuntungan boleh agih. Ke mana perginya RM3.8 bilion baki keuntungan hasil jualan aset-aset TH?

3. Apakah jaminan bahawa aset-aset yang dijual oleh TH kepada Syarikat Urusharta Jamaah Sdn Bhd mampu ditebus pada nilai yang sepatutnya. Apakah yang terjadi sekiranya nilai aset-aset ini kurang dari nilai sukuk yang dipegang oleh TH? Sudah tentu TH terpaksa merekodkan kerugian. Oleh yang demikian, ‘Jaminan Kerajaan’ amat penting, tetapi sebagaimana yang dilaporkan, Kementerian Kewangan bertegas bahawa tiada ‘Jaminan Kerajaan’ diberikan. Bagaimana kepentingan TH dapat dijaga?

4. Sekiranya benar berlakunya penyelewengan, penipuan, manipulasi akaun oleh pengurusan terdahulu, mengapakah sehingga hari ini tiada pendakwaan dibuat ke atas mereka? Sebaliknya Menteri lebih gemar mencetuskan sentimen dan menghukum mereka di mahkamah persepsi. Apakah ini satu cara menutup kelemahan pentadbiran Kerajaan PH yang hakikatnya juga bertanggungjawab menakut-nakutkan pelabur dengan naratif hutang negara tinggi dan bakal bankrap, dasar luar negara yang tidak konsisten dan mengelirukan hingga mengakibatkan saham-saham perladangan kelapa sawit dan getah milik TH menjunam jatuh selepas pertukaran Kerajaan pada Mei 2018.

5. Benarkah aktiviti pelaburan TH telah digantung sejak tahun lalu hingga hari ini sehinggakan Jawatankuasa Pelaburan tidak bersidang dan TH tidak mampu menjana apa-apa hasil pelaburan sebagaimana kebiasaannya kecuali menjual aset-aset seperti hartanah bernilai TH kepada SPV? (Antara hartanah bernilai yang dijual termasuklah Tanah TRX yang dibeli pada harga RM196 juta dan dijual pada harga RM400 juta; Platinum Park dijual pada harga RM737 juta sedangkan harga belian RM485 juta; ini tidak termasuk hotel-hotel TH yang turut dijual di TH Bayan Lepas, TH Kuching, TH Hotel Kelana Jaya, TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Alor Setar, TH Hotel Terengganu)

6. YB Amanah-PH Hasanuddin Yunus mendakwa berdasarkan cariannya bahawa TH Indoplantation di Riau rugi RM408 juta sedangkan dalam rekod TH mencatatkan keuntungan berjumlah RM873 juta. Mana satu yang betul? Pengurusan TH perlu jujur mengenainya.

Mohon YB Menteri Dr Mujahid menjelaskan dengan telus dan tulus persoalan-persoalan di atas yang rakyat berhak tahu terutamanya 9.3 juta orang pendeposit di kalangan orang Islam. Sudah-sudahlah bermain sentimen menyalah kerana tidak selamanya rakyat boleh diperbodohkan dengan sentimen fitnah dan tohmah!

DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI
Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia
5 April 2019 – HARAKAHDAILY 5/4/2019