PAS hantar Misi Bantuan Kemanusiaan Gaza, 27 April

KUALA  LUMPUR: PAS telah menggerakkan kempen dan mengumpulkan sumbangan bagi Misi Bantuan Kemanusiaan Gaza di mana akan diserahkan langsung oleh delegasi yang akan ke Palestin.
 
Usaha dan persiapan tersebut telah diadakan menerusi Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) di bawah Lajnah Antarabangsa PAS Pusat yang dijadualkan berlepas ke sana pada 27 April nanti.
 
Terdahulu, diketuai Timbalan Presiden PAS, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, telah diadakan mesyuarat bersama International Parlimentarians For Al-Quds di bangunan Parlimen, di sini.
 
Mereka diketuai Presidennya, Syeikh Hamid Abdullah Al-Ahmar dari Yaman bersama Ahli Jawatankuasa yang lain, manakala pihak PAS juga dihadiri beberapa Ahli Parlimen, semalam.
 
Turut serta pada mesyuarat itu adalah Presiden Palestinian Cultural Organization Malaysia (PCOM), Muslim Imran dan juga Pengarah PASRelief, Muhammad Sanusi Md Nor.
 
Malah, melalui Lajnah Penerangan PAS Pusat telah dianjurkan Malam Solidariti Palestin yang diadakan di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad, Gombak pada Selasa lalu.
 
Menurut Ahli Jawatankuasa PASRelief, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman, PAS istiqamah bersama Palestin dan sentiasa bersuara membelanya di peringkat antarabangsa dan Parlimen Malaysia.
 
Malah maklumnya, bersama usaha-usaha yang sentiasa diadakan ke arah mengembalikan hak ke tangan Palestin dan peranan berkaitan, PAS telah mencadangkan Kaukus Parlimen Untuk Palestin.
 
Sementara itu Muhammad Sanusi pula memaklumkan, sasaran awal sumbangan dibawa delegasi nanti adalah RM200,000 bagi membantu keperluan khususnya di Gaza dan Tebing Barat.
 
Perinci beliau, situasi genting umat Islam Palestin yang dizalimi tentera rejim Zionis Israel amat memerlukan kepada makanan, air bersih, ubatan serta keperluan harian lainnya.
 
Sumbangan masih dibuka di mana orang ramai boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank Islamic 5640 7061 2333 (PASRelief) atau 5640 7061 1352 (Tabung Kemanusiaan Antarabangsa). – HARAKAHDAILY 5/4/2019
IMG 20190404 WA0061
 
IMG 20190405 WA0035
 
Advertisement