Tokoh pejuang Muslimat Pasir Salak dihargai

PASIR  SALAK: Muslimat PAS Kawasan Pasir Salak telah menyampaikan anugerah kepada tokoh aktivis, Nor ‘Abidah Abdullah yang pernah menjadi penggerak dewan itu suatu ketika dahulu.
 
Anugerah Jasamu Dikenang sempena Mesyuarat Agung Tahunan PAS Pasir Salak yang berlangsung Ahad lalu itu telah diserahkan kepada ‘Abidah di kediamannya di Chenderong Balai, di sini semalam.
 
Penghormatan itu sebagai penghargaan di atas keterlibatan beliau selaku antara barisan individu awal menubuhkan dewan tersebut sejak Disember 1987, serta komitmen diberi selaku Ahli Jawatankuasa.
 
“Sejak 32 tahun yang lalu, sosok ini juga tidak pernah kenal lelah dan putus asa, bahkan istiqamah dalam segala aktiviti dakwah, tarbiyah, kebajikan PAS terhadap masyarakat,” kata Pengerusi Lajnah Pemerkasaan Parti Muslimat PAS Pasir Salak, Faridah Dawam.
 
Kunjungan hormat diketuai Timbalan Ketua Muslimat PAS Pasir Salak, Ustazah Masitah Shafie itu turut disertai Ahli Jawatankuasa yang lain termasuk Muslimat PAS Cawangan Chenderong Balai.
 
Selain hadir menyerahkan hadiah dan cenderamata anugerah tersebut, mereka juga dapat mendengar sendiri titipan sejarah serta iktibar dari perbualan mesra bersama individu berjasa itu.
 
“Zaman dulu, zaman BN jahat lagi. Orang-orang yang terlibat dengan PAS jadi pembangkang kena ugut yang kerja kerajaan. Guru-guru sekolah, Guru KAFA tak terkecuali. PAS sini pernah lalui zaman perpecahan dan salah faham dan tak sependapat. Ada yang dilucutkan keahlian dan jawatan. 
 
“Namun, mereka yang dilucutkan ini, mohon semula jadi ahli baru dan sampai sekarang masih istiqamah dengan PAS. PAS dulu dan sekarang banyak berkembang. Alhamdulillah kita di sini dan mana yang dilantik, teruskan perjuangan,” seru ‘Abidah. – HARAKAHDAILY 5/4/2019
Advertisement