Hadiah RM132,750 menanti kaki pancing

KOTA BHARU: Hadiah sebanyak RM132,750 menanti kaki pancing pada pertandingan anjuran Tourism Malaysia yang akan diadakan Pantai Bisikan Bayu, Pasir Puteh.

Advertisement

Program itu diadakan sempena Surfcasting Tour 2019 A Journey To Visit Malaysia 2020 bagi pusingan kedua.

Pengarah Tourism Malaysia Kelantan Hafiz Hazim, berkata, pertandingan berkenaan diadakan dengan kerjasama Wak Jali Event Management di lokasi sepanjang 2.5 kilometer persisiran pantai itu.

Katanya dijangka lebih 2,000 kaki pancing dari seluruh Malaysia dan luar negara akan menyertai pertandingan tersebut yang akan diadakan 13 April ini.

“Ia melibatkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM132,750. Pantai Bisikan Bayu antara 10 lokasi yang dikenal pasti bagi 10 siri pertandingan.

“Ia termasuk Pantai Remis di Selangor, Pantai Sepat, Pahang, Pantai Pontian, Johor dan Pantai Kuala Perlis,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Program itu mendapat kerjasama kerajaan negeri, Majlis Daerah Pasir Puteh dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

Pemenang tempat pertama ditawarkan wang tunai sebanyak RM70,000, tempat kedua RM12,000 dan RM5,000 tempat ketiga.

Hafiz juga berkata, setiap pemancing dikenakan bayaran sebanyak RM80 bagi sebatang pancing dan setiap orang dibenarkan hanya dua batang joran.

“Hadiah wang tunai bukan daripada hasil kutipan yuran penyertaan kerana penganjur menyediakan wang tunai berkenaan lebih awal,” katanya.

Kata beliau juga pada hari pertandingan akan diadakan pelbagai aktiviti termasuk gerai jualan dan pentunjukan seni kebudayaan.

Turut hadir pada sidang media berkenaan Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia Kelantan Mohd Aidil Afizie Daud dan wakil Wak Jali Event Management, Amir Ali Mohamad. – HARAKAHDAILY 9/4/2019