Hormati konsep federalisme dalam Perlembagaan

fadli shaari

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari meluahkan kebimbangan sekiranya cadangan kerajaan untuk meminda Perlembagaan bagi mengembalikan status Sabah dan Sawarak sebagai rakan kongsi yang sama dalam Persekutuan Malaysia boleh mengubah kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama.

Advertisement

Beliau yang mempersoalkan sekiranya dirujuk kepada Perjanjian Malaysia 1963, adakah ketua agama masih kekal di tangan Yang di-Pertuan Agong atau kembali ke status sebelumnya.

“Sekiranya pindaan ini cuba untuk sedikit sebanyak mengubah kuasa yang ada pada Yang di-Pertuan Agong, kita faham dalam Perlembagaan hendaklah dirujuk pada Majlis Raja-Raja.

“Persoalannya adakah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja telah dirujuk untuk menerima pindaan seperti ini,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 di Dewan Rakyat, malam tadi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil bangkit mencelah menyatakan bahawa perbahasan itu hanya menyentuh Perkara 1 Fasal (2) dan tidak perkara lain.

Menjawab celahan tersebut, Fadhli berkata ia sekadar luahan kebimbangan sekiranya pindaan itu boleh membuka pintu perbincangan ke arah itu.

“Seperti apa yang disebut oleh ahli Parlimen PH terutama Langkawi bahawa ini adalah satu langkah mula kepada perbincangn dan pindaan-pindaan lain yang dibimbangi akan menyentuh kuasa-kuasa seperti ini.

“Saya cuma mengutarakan kebimbangan, kerana kita tahu bahawa kuasa yang termaktub pada Majlis Raja-Raja tidak boleh diusik, kita bimbang berlaku hubungan tidak baik,” ujarnya.

Tambahnya, beliau menyokong Sabah dan Sarawak diberi hak sebagaimana yang sepatutnya menjadi hak mereka.

Namun, kata beliau tidak semestinya melalui pindaan Perlembagaan tetapi perlu menghormati konsep federalisme yang telah termaktub sekian lama dalam Perlembagaan.

Bagaimanapun, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi mengembalikan semula status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi yang sama dalam Persekutuan Malaysia di Parlimen gagal diluluskan.

Ia berikutan kerajaan memerlukan sokongan 148 ahli Dewan Rakyat bagi membolehkan Perlembagaan dipinda.

Namun, undian menunjukkan seramai 138 ahli Dewan Rakyat yang menyokong dan 59 memilih untuk berkecuali semasa pengundian.

Mengikut peruntukan Perlembagaan, RUU Pindaan Perlembagaan hanya boleh diluluskan apabila mendapat sokongan dua pertiga daripada ahli Dewan Rakyat.

RUU itu merupakan pindaan Perlembagaan pertama yang dibawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) sejak mengambil alih pentadbiran negara. – HARAKAHDAILY 10/4/2019