PTMP: Mohon PAS perjuang nasib penduduk P. Pinang

SURAT TERBUKA
 
Kepada,
 
YB Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
Pejabat Agung PAS
Jalan Raja Laut
KUALA LUMPUR
 
Tuan Guru,
 
MOHON PAS PERJUANG NASIB PENDUDUK PULAU PINANG PASCA BERMULANYA PTMP
 
Perkara di atas adalah dengan ini dirujuk.
 
2.    YB Tuan Guru, surat ini kami tujukan kepada Tuan Guru dalam bentuk surat terbuka yang sudah pasti akan dibaca oleh semua rakyat Malaysia khasnya di Pulau Pinang. Penang Transport Master Plan (PTMP) telahpun menjadi satu polemik sejak beberapa tahun kebelakangan hingga membawa kepada isu skandal ‘terowong’ yang telah dibuka kertas siasatan SPRM sejak sebelum PRU tahun lalu. Isu ini melangkaui sempadan politik kepartian dan perkara utama yang menjadi kebimbangan rakyat saat ini adalah mengenai kemusnahan alam semulajadi di pulau ini.
 
3.    Isu ini telah menarik banyak pihak khususnya NGO yang berjuang menentang kelulusan PTMP yang dilihat bakal memberikan kesan buruk kepada rakyat setempat. Penang Forum, Sahabat Alam Malaysia, CAP dan Aliran serta puluhan badan yang lain telahpun mengeluarkan pandangan masing-masing. Malahan laporan serta komen berkaitan perjalanan projek, Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), dan isu isu lain berkaitan kesan langsung kepada rakyat mencakupi segmen ekonomi (manfaat, kos dan kerugian), kemanusiaan (keselamatan dan kesihatan penduduk), kebudayaan (warisan dan tinggalan sejarah) serta yang paling utama adalah aspek kemandirian alam sekitar (bumi, tanah, air, udara, pokok dan tumbuhan serta haiwan).
 
4.    Kebimbangan utama rakyat adalah berpusat kepada pembinaan The Pan Island Link Phase 1 (PIL1) sepanjang 19.5 kilometer yang bakal memberi kemuatan dwi-tiga lorong (enam lorong semuanya bagi dua hala) dan mencakupi empat bahagian terowong. Peliknya adalah jarak terowong ini sepanjang 10.1 kilometer ataupun 52 peratus daripada panjang keseluruhan lebuhraya. Laporan EIA tidak menaksirkan tahap kesesakan enam jalan penghubung yang menghala ke persimpangan lebuhraya PIL1 iati Gurney Drive, Jalan Utama Youth Park, Jalan Paya Terubong, PIL2 (baru), Jalan Tun Dr Awang dan Jalan Tun LCE.
 
5.    Isu lain juga adalah berkaitan penggalian terowong melalui bukit bukau Pulau Pinang yang mana di dalam laporan EIA telah disebut bahawa terowong PIL1 akan merentasi tiga garis sesar di dalam batuan dasar. Satu garis sesar berlaku di mana Terowong 1 muncul di Air Itam. Jelasnya, laporan EIA mengatakan bahawa bahawa pembinaan terowong mungkin menyebabkan perubahan bentuk tanah yang boleh mencetuskan runtuhan  dan penenggelaman tanah. Kawasan yang bersilang dengan zon sesar akan mudah retak dan runtuh. Struktur binaan berhampiran seperti Kuil Kek Lok Si, Empangan Air Itam serta Kompleks Bukit Bendera berisiko mengalami kerosakan tapak. Lebih membimbangkan apabila laporan EIA tidak menaksirkan kesan pembinaan terowong kepada kestabilan batuan dasar granit yang retak, pengaliran air dalam tanah, terutama di zon sesar dan paling menakutkan kestabilan empangan tanah Air Itam yang terbina sejak 56 tahun yang lalu pada aras 235 meter dari paras laut!
 
6.    Isu lain adalah mengenai pembuangan serpihan batu yang terhasil daripada korekan 10.1 kilometer terowong yang mana dianggarkan oleh Penang Forum sebanyak 2.5 juta meterpadu. Bagaimana nantinya proses pengangkutan serpihan sebesar dan sebanyak itu melalui jalanan yang sempit selama 3 atau 4 tahun? 
 
7.    Kesan sosial langsung pula berkaitan lebuhraya bertingkat ini yang bakal merentasi dua taman awam iaitu Taman Belia dan Taman Jajar Sungai Ara. Laporan EIA seakan akan meremehkan impak sosial berkenaan tahap penggunaan aktiviti rekreasi di dua taman ini. Malahan dengan jangkaan paras bunyi bising pembinaan ini setinggi 75 dB(A) ia bakal mengganggu ketenteraman penduduk yang mahu melakukan rekreasi. Penduduk rumah flat, kondominium dan lain lain sepanjang jajaran Lebuhraya PIL1 (pada jarak 20-100m) akan terjejas dengan bunyi bising.
 
8.    Di dalam laporan EIA juga, impak kualiti udara telah diperkecilkan. Dengan nilai NO2 latar udara yang terlalu rendah, serta menggunakan andaian yang tidak realistik bagi meramalkan kualiti udara seperti meletakkan nilai latar sifar bagi faktor gas pencemar dan aliran lalulintas yang kononnya lancar tanpa kesesakan, maka hal ini menimbukan keraguan yang tidak sedikit. 
 
9.    Impak hakisan tanah dan banjir juga kelihatannya telah diperkecilkan apabila laporan EIA meramalkan hakisan tanah dari cerun yang terdedah serta limpahan air sungai yang boleh mengakibatkan banjir dengan berpandukan data curahan hujan masa lampau semata mata. Ia tidak mengambil kira bahawa dengan perubahan iklim, corak hujan juga boleh berubah dan mencetuskan banjir kilat dalam masa yang cepat. Data curahan hujan harian di Bayan Lepas bagi Julai sehingga Disember 2016, menunjukkan serendah 20 milimeter sahaja (16 September dan 11 November) telah menyebabkan banjir kilat. Manakala paras lain melebihi 60 sehingga 80 milimeter sehari juga telah menenggelamkan banyak kawasan rendah. Tidakkah dibuat satu anggaran hujan boleh mencurah sehingga 200 milimeer sehari yang telah menyebabkan banjir segera seperti pernah turun pada 15hb Julai 2016?
 
10.  Kerajaan Pusat dan Negeri sepatutnya mendengar nasihat dan amaran yang diberikan oleh NGO-NGO yang disebutkan dalam paragraf di atas tadi. Mereka bukanlah kumpulan ‘anti pembangunan’ seperti yang dituduh oleh sesetengah pihak. Malahan merekalah yang sejak sekian lama telah sama sama membangunkan Pulau Mutiara ini. Tiada kepentingan politik. Mereka hanya mahukan jaminan akan terpeliharanya alam sekitar dan semulajadi serta pembangunan negeri yang damai serta memberikan manfaat paling optimum kepada penduduk setempat. 
 
11.  Justeru, kami memohon agar YB Tuan Guru dapat menyampaikan hasrat dan pandangan kami ini kepada YAB Perdana Menteri Malaysia. Ia penting sehingga analisis risiko terperinci terhadap impak pembinaan terowong yang melalui kawasan bukit bukau dibentangkan, penaksiran impak penggunaan taman rekreasi taman taman awam, penelitian semula kepada data serta andaian yang diragui, kualiti udara, jumlah lalulintas, hakisan tanah dan banjir yang semuanya perlu ditentu-sahkan kembali. Laporan Impak Lalulintas (TIA) dan Laporan Impak Sosial (SIA) pula perlu lebih telus kerana sebelum ini pihak awam tiada akses kepadanya sehinggakan kaedah dan hasil analisis boleh dicabar serta diragui.
 
Sekian. Terima kasih.
 
Yang benar,
 
 
NAZMAN CHE IBERAHIM
Pengerusi 
Lajnah Alam Sekitar
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 10/4/2019
Advertisement