Isu pulih FELDA hilang disebalik usul ‘gantung’ Najib

PADA 3 Februari 2016, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir meletak jawatan Menteri Besar (MB) Kedah berkuat kuasa serta merta.

Advertisement

Beliau dikatakan hilang sokongan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri (Dun). Ketika itu beliau mewakili Umno dan Barisan Nasional (BN).

Mukhriz benar-benar diharap mewarisi ‘takhta’ yang bakal ditinggalkan paduka ayahdanya. Tidak sampai tiga tahun dia berada di kerusi itu.

Tujuh tahun sebelum itu tragedi hampir serupa berlaku di Perak. Namun kondisinya berbeza. Dato’ Seri Nizar Jamaluddin kehilangan jawatan, tidak sampai setahun bergelar MB gara-gara tiga Adun melompat parti.

Dua Adun PKR dan seorang Adun DAP hilang sokongan kepada Pakatan Rakyat. Tanggal 6 Februari 2009 tiga Adun terbabit mengisytihar menyokong BN.

Dan selepas tiga tahun tragedi menimpa Mukhriz, berulang pula peristiwa serupa di Johor sekarang. Dato’ Osman Sapian tiba-tiba meletak jawatan sebagai ketua eksekutif di Johor.

Biar pun cuba dikaitkan hubungan kurang akrab dengan istana Johor, namun isu dalaman Pakatan Harapan (PH) tidak mampu dinafikan.

Ramai melihat sesiapa pun menduduki kerusi MB Johor isu serupa boleh berulang. Ibu segala isu dianggap berpangkal hubungan dingin Istana Johor dengan perdana menteri.

Isu Pulau Kukup memperlihatkan ketegangan antara Johor dan pusat.

Pada 8 Disember 2018 Menteri Air Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar memberitahu status Pulau Kukup sebagai Taman Negara.

Namun istana mahu ia kekal sebagai Taman Negara Johor.

Akhirnya Sultan Johor dilapor bertitah “Semua pihak haruslah menghormati kuasa-kuasa negeri yang diperuntuk dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor,”.

Suhu ketegangan Johor-pusat tambah hangat, muncul pula isu projek pembangunan hab pemindahan kargo antara kapal ke kapal (STS Hub) di Pelabuhan Johor Bahru.

Perdana Menteri dilapor berkata projek kerjasama KA Petra Sdn Bhd dengan syarikat perkapalan, Hutchison Port Holdings Limited, akan membawa keuntungan kepada negara.

Namun ahli Exco Johor Jimmy Puah Wee Tse mempersoal projek pemindahan kargo STS Hub beroperasi di wilayah Johor biar pun terletak 3.5 batu nautika dari pantai Johor.

Situasi tambah kelam kabut apabila muncul isu pencemaran toksik di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang sehingga meresahkan seluruh rakyat.

Semalam pula Dr Mahathir seperti memulang paku buah keras. “Saya berpendapat kalau kita anggap bahawa yang akan memilih perdana menteri dan menteri besar adalah raja, kita sudah tidak jadi negara demokratik lagi,” ujar perdana menteri.

Berdasar epidemik itu Adun PH mana sekali pun menduduki kerusi MB, hubungan Johor-Putrajaya dianggap tetap membahang.

Paradoks seperti itu sudah cukup untuk digambarkan kerajaan PH tiada upaya melangkah jauh, menjejaki penggal ke-15.

Itu belum lagi diungkit kegagalan kerajaan PH memansuh Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018. Ia ditolak Dewan Negara.

Undi belah bagi tersebut menyaksikan 28 anggota dewan tidak menyokong pemansuhan akta itu berbanding 21 menyokong, manakala tiga lagi tidak mengundi.

Kegagalan seperti itu berulang sekali lagi kelmarin. Kerajaan PH gagal meminda Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan.

Dan hari ini gamak lagi persidangan parlimen. Dewan Rakyat membahas usul menggantung tugas Dato’ Seri Najib Razak sebagai ahli parlimen. Najib dianggap melakukan suatu perbuatan menghina Dewan Rakyat.

Bekas perdana menteri itu didakwa melanggar embargo dokumen Kertas Putih Ke Arah Kelestarian Felda. Dia diberitakan memuat naik sebahagian kandungan berkaitan di laman Facebooknya.

Usul penggantungan dibawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Di sebaliknya pendedahan itu rupa-rupanya laman web parlimen didakwa anggota parlimen Pontian Dato’ Ahmad Maslan memapar butiran lebih awal daripada detik embargo.

Maka kata bekas Speaker Dewan Rakyat Dato’ Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan anggota parlimen Kota Bharu Dato’ Takiyuddin Hassan, tiada lagi istilah embargo apabila laman web parlimen sendiri menyiar lebih awal.

Hujah, pandangan dan cadangan memulihkan Felda semalam hilang di sebalik usul mahu menggantungkan Najib hadir ke parlimen.

Sepatutnya wajah Malaysia Baharu tidak dibazirkan dengan membincangkan perkara remeh itu. Ia menghilang tumpuan memulihkan Felda yang semakin menghimpit peneroka sekarang. – HARAKAHDAILY 11/4/2019