MPKB BRI tangani isu peniaga Lembah Sireh

KOTA BHARU: Kerajaan negeri akan mengatur pertemuan antara pemaju dan peniaga di Lembah Sireh Ahad ini bagi menyelesaikan masalah kedua-dua belah pihak.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, isu itu timbul gara-gara kekeliruan berhubung sempadan lokasi sebenar yang diluluskan.

“Buat masa sekarang kita meminta mereka bertenang. Kita akan panggil kedua-dua pihak Ahad ini. Isu ini boleh diselesaikan secara baik cuma baru-baru ini berlaku sedikit kekecohan.

“Peniaga memang diberikan lesen oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam, tetapi bukan tempat yang mereka berniaga sekarang.

“Kita ada luluskan satu tapak lain dibina pihak pemaju,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Kelantan 2019 di Dewan Jubli Perak MPKB-BRI hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Hilmi Abdullah; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal dan Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin.

Semalam sekumpulan peniaga yang bergabung di bawah Komuniti Peniaga Kecil Masjid Maulana al Khurasan membantah tindakan pemaju memasang besi bagi menghalang mereka berniaga di Lembah Sireh.

Pengerusinya, Mat Hassan Daud berkata, lokasi itu dianggap di bawah pengurusan MPKB-BRI dan tiada kaitan dengan pemaju Bandar Baharu Lembah Sireh. – HARAKAHDAILY 11/4/2019