Kombinasi petugas PAS-Umno menarik

SEREMBAN: Sokongan luar biasa terhadap kerjasama penyatuan ummah antara PAS dan Umno bakal mengembalikan semula kuasa pentadbiran kerajaan kepada orang Melayu dan Islam berbanding keadaan sekarang yang didominasi oleh DAP.

Advertisement

Hal ini dapat dilihat, sekitar 65 peratus lonjakan sokongan populariti di peringkat akar umbi antara PAS dan Umno yakni dua parti terbesar di negara ini bertambah meyakinkan.

PJNPemangku Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha berkata lonjakan sokongan itu telah diterjemahkan pada malam Ceramah Perdana untuk calon BN, Dato’ Seri Mohamad Hasan di Taman Angsamas pada 11 April lalu yang mengundang barisan kepimpinan tertinggi PAS iaitu Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

“Pemerhatian yang paling saya nampak ketara petugas Umno dan PAS di Angsamas sudah menampakkan satu kombinasi yang menarik antara petugas PAS dan Umno.

“Saya ada tanya kepada petugas PAS tadi, ada yang datang dari Perlis.

“Jadi di situ kita nampak betapa sokongan ini adalah sesuatu yang padu dan kita nampak akar umbi Umno dan PAS menerima dengan baik,” katanya yang hadir memberi sokongan kepada calon BN di kawasan Pusat Daerah Mengundi Nyatoh di sini.

Mengulas lanjut perkembangan semasa penyatuan ummah ini, beliau berkata meskipun pengundi PAS di peringkat parlimen Rembau sekitar 700 orang sepertimana yang direkodkan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), namun hakikatnya penyokong PAS begitu ramai di Rantau.

Ujarnya, PAS di Rantau amat menghormati kepimpinan Mohamad atau mesra dipanggil Tok Mat malah tidak pernah sekali meletakkan calon untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (Dun) ini.

“Semasa kita (PAS) bersama Pakatan Rakyat (PR), kita tak letak calon di sini tetapi PKR yang letak calon untuk bertanding dalam pilihan raya.

“Kita harap dengan kerjasama ini dapat memulihkan kembali perkara-perkara yang mengancam kedudukan Melayu dan Islam.

“Bukan bermakna bila kita bercakap pasal Melayu dan Islam ini kita abaikan kaum yang lain, soalnya bila Islam memimpin rahmatnya akan dirasai oleh semua kaum,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan sekitar 70 peratus pengundi akan keluar mengundi hari ini.

Sehingga peti undi dibuka sejak jam 8 pagi sehingga jam 12 tengah hari tadi sebanyak 47 peratus telah keluar mengundi.

PRK Rantau, menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH), Dr S Streram; calon Barisan Nasional (BN) Mohamad Hasan; dan 2 calon Bebas iaitu suri rumah R Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin. – HARAKAHDAILY 13/4/2019