MB baru Johor ditentukan kalau terima syarat

BERDASARKAN kepada sidang media Dato’ Osman Sapian tadi, adalah jelas bahawa Sultan Johor mahu menggunakan budi bicara melantik Menteri Besar yang ada pada Baginda untuk meletakkan beberapa syarat tertentu kepada calon Menteri Besar yang baru, termasuk melakukan “perubahan-perubahan besar dalam pembentukan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor”.
 
Syarat-syarat tertentu yang akan dikenakan kepada calon Menteri Besar yang baru ini, berdasarkan kepada sidang media Dato’ Osman Sapian tadi pula, walaupun mungkin bertujuan baik, bukanlah syarat-syarat yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Negeri Johor.
 
Soalnya sekarang adalah apakah calon Menteri Besar yang baru ini mahupun parti yang diwakili olehnya (BERSATU) dan parti-parti lain yang bersekutu dengannya (DAP, PAN dan PKR) akan bersetuju dengan syarat-syarat ini?
 
Apa agaknya yang akan berlaku jika calon Menteri Besar yang baru ini mahupun parti yang diwakili olehnya dan parti-parti lain yang bersekutu dengannya tidak bersetuju dengan syarat-syarat ini.
 
Sangat menarik untuk diperhatikan perkembangan selanjutnya.
 
Petikan Sidang Media Dato’ Osman Sapian:
 
“Saya telah menyerahkan surat perletakan jawatan saya kepada DYMM tepat jam pukul 10:30 (pagi) tadi selepas berbual panjang dengan DYMM Tuanku. Tuanku, dia mengambil, tetapi dia tak melihat pun apa isi kandungan dalam surat tu. Dan Baginda bertitah, dia kata, “Tak apa, saya ambil ni sebagai souvenir”. Dan walau apa perkara, dia terima kah, Tuanku sendiri bertitah kepada saya, dia akan meletakkan beberapa syarat tertentu kepada bakal penyandang Menteri Besar yang baru. Kalau itu syarat-syaratnya diterima mungkin akan terjadilah satu pembentukan Menteri Besar dan juga Kerajaan yang baru ini. Mungkin dalam soal ini juga ada perubahan-perubahan besar dalam pembentukan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor sebagaimana titah DYMM tadi. Dan saya telah dimaklumkan oleh DYMM atas sikap Baginda akan berjumpa kembali pada jam 6:30 petang ini dengan DYMM. Apa yang akan dibincangkan seterusnya itu saya tidak pastilah. Jadi apa-apa pun, perkara ini masih belum selesai.” – HARAKAHDAILY 13/4/2019
Advertisement