Petugas PAS-Umno bersemangat walaupun panas

SEREMBAN: Suasana Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Rantau masih terkawal dengan cuaca panas di waktu tengah hari namun tidak melunturkan semangat penyokong PAS dan Umno.

Advertisement

Setakat jam 12 tengah hari, penyokong calon Barisan Nasional (BN) di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Sri Sendayan masih bersemangat memeriahkan hari pengundian sekitar tempat mengundi.

Penolong Setiausaha PAS Kawasan Ampang, Sharifah Haslizah turut hadir bersama penyokong-penyokong lain walaupun di bawah terik mentari.

Katanya, beliau hadir untuk memberikan sokongan kepada calon BN, Dato’ Sri Mohamad Hasan di pusat pengundian tersebut.

Ditanya mengenai apa yang menjadikan beliau turut hadir memberikan sokongan, beliau patuh kepada arahan pimpinan turun bersama-sama BN untuk memberi sokongan.

“PAS Ampang telah memulakan program ceramah bersama-sama Umno dan kami menyambut baik kerjasama antara PAS-Umno pada PRK kali ini.

“Kami melakukan semua ini demi perjuangan Islam dalam memastikan Islam difahami oleh semua golongan masyarakat terutama kaum Melayu,” ujarnya.

Tambah beliau, PAS Kawasan Ampang telah memulakan kerjasama dengan Umno Bahagian Ampang dalam merangka program sempena bulan Ramadan pada tahun ini.

Sharifah berkata, PAS Kawasan Ampang mendoakan agar Umno yang diwakili oleh Mohamad Hasan diberikan kemenangan pada PRK Dun Rantau kali ini.

“Ini adalah ‘signal’ kepada Pakatan Harapan agar mereka gentar dengan kerjasama antara PAS-Umno,” katanya ketika ditemubual.

Nurul Fadhilah Mustapha, 27, pula dilihat bersemangat bersama penyokong-penyokong lain walaupun di bawah cuaca yang agak panas.

“Kami datang kesini lebih kepada untuk memberi sokongan, namun sekiranya ada pengundi yang memerlukan bantuan kami akan hulurkan bantuan secara sukarela,” katanya.

Justeru itu, beliau tidak hanya hadir menyatakan sokongan malah turut membantu pengundi yang memerlukan bantuan bagi membuang undi di pusat pengundian tersebut.

PRK Dun Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi Dun itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), terbatal dan tidak sah.

Pada PRU14, Mohamad, diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi kerusi itu selepas Dr Streram dilarang memasuki pusat penamaan calon untuk menyerahkan borang pencalonannya kerana tertinggal pas dikeluarkan SPR. – HARAKAHDAILY 13/4/2019