Tidak mudah PH ‘bius’, rakyat makin ‘alert’

KUALA  LUMPUR: Kemenangan hatrik dari muafakat pembangkang antara BN dan PAS telah memberikan tiga kekalahan berturut-turut kepada PH yang melibatkan tiga parti utama gabungan itu.

Advertisement

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim berkata, hal tersebut sememangnya satu senario baharu dalam politik negara di mana ianya terhasil dari kesedaran dan penilaian rakyat.

Jelas beliau, natijah dari kebangkitan rakyat itu menjadi protes kepada Kerajaan Pusat dan terhadap parti-parti yang sedang menguasai Putrajaya diterjemahkan melalui tiga PRK.

“Pesakit yang dah kena bius dalam dewan bedah pun doktor tak boleh nak buat ikut suka. Ada SOP ‘patient handling’ yang sangat ketat walaupun ‘patient’ dah tak sedar. Apatah lagi ketika berurusan dengan pesakit yang sedar.

“Zaman sekarang rakyat susah nak kena bius sekalipun PH menampilkan calon pakar bius. Situasi rakyat berada pada tahap ‘alert’ yang tinggi. Kita turun kereta dengan kaki kiri atau kaki kanan pun rakyat perhati.

“Masuk kampung tak turunkan cermin kereta kena komplen. Apatah lagi bila janji sebesar gajah dibuat-buat tak nampak,” bidasnya merujuk mungkir janji dan kegagalan PH menunaikan manifesto mereka.

Kini katanya, dengan isu semakin besar, rakyat menunjukkan protes terbuka terhadap prestasi Kerajaan PH dan menjadikan PRK yang berlangsung sebagai medan menzahirkan hal itu.

Terang Adun Jabi itu, walau di manapun PRK, majoriti pengundi akan mengambil kira prestasi semasa Kerajaan Pusat yang sedang memerintah sebelum mereka membuat pilihan.

“Kempen berdegar-degar pun, tak banyak ruang untuk mengubah pandangan rakyat kalau tindakan drastik untuk memperbaiki prestasi tidak diambil segera,” tempelaknya lagi.

Sebelum ini PH diwakili DAP gagal di PRK P.078 Cameron Highlands, kemudian dirampas kerusi di PRK N.24 Semenyih yang ditandingi BERSATU dan tewas di PRK N.27 Rantau menerusi calon PKR, semalam.