Kes tarik balik saman royalti 17 April

TUMPAT: Keputusan Kelantan menarik balik saman yang dikemukakan terhadap Petronas dan Kerajaan Persekutuan berhubung tuntutan royalti bakal didengari 17 April ini.

Advertisement

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Ahmad Yakob berkata, kerajaan Persekutuan tidak boleh membayar royalti minyak kepada Kelantan selagi proses itu tidak diselesai di mahkamah.

Katanya, langkah itu dilakukan selepas mengambil kira kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang berjanji untuk menyerah bayaran tunai petroleum kepada negeri-negeri terlibat.

“Perkembangan permohonan royalti setakat ini kita tunggu perbicaraan di mahkamah pada 17 April ini. Kita tunggu dengan sabar.

“Tuntutan royalti merupakan perjuangan dipenuhi pelbagai kekangan, begitu juga permintaan kerajaan untuk mendapatkan status kolej universiti terhadap Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penyampaian Skim Bantuan Imam Al Ghazali di Maahad Muhammadi Pasir Pekan di sini hari ini.

Hadir sama Pengurus Kanan Pemasaran dan Komunikasi Korporat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Zamakhshari Muhamad dan Timbalan Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK), Ustaz Che Kamaruddin Kamel Che Muhammad.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dato Seri Mohamad Azmin Ali sebelum ini dilapor mengumumkan untuk membayar royalti kepada Kelantan selepas selesai proses di mahkamah. – HARAKAHDAILY 15/4/2019