Pasca Rantau: Fokus bina keampuhan parti

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) mengucapkan tahniah kepada YB Datuk Seri Mohamad Hasan kerana telah memenangi Pilihan Raya Kecil Dun Rantau, Sabtu lalu.

Advertisement

Kemenangan besar BN dengan majoriti 4,510 undi dan peratusan tertinggi keluar mengundi (79.3%) dalam 7 siri PRK setakat ini, adalah satu mesej besar yang ditunjukkan rakyat kepada Pakatan Harapan.

Setelah 11 bulan PH mentadbir negara, keputusan PRK Rantau adalah tamparan hebat yang ditunjukkan oleh rakyat.

BN menang 13 daripada 14 Pusat Daerah Mengundi. Malah, sokongan pengundi India dan Cina telah meningkat secara drastik kepada BN. Kemenangan tiga kali berturut-turut di pola pengundian serta demografi berbeza adalah satu pencapaian yang terbaik.

Krisis keyakinan (trust deficit) yang dialami oleh PH adalah akibat daripada perbuatan mereka sendiri. Kegagalan janji manifesto, kelemahan pentadbiran, konflik dalaman PH semakin parah dan persaingan kuasa daripada anasir tertentu untuk menjatuhkan YAB Perdana Menteri adalah faktor empirikal yang menyumbang ke arah kekalahan PH. Rakyat sudah semakin matang untuk menilai secara kritikal perkara tersebut.

PAS optimis kerjasama politik (ta’awun siyasi) yang dibentuk setakat ini mencerminkan aspirasi baharu rakyat untuk menundukkan keangkuhan PH.

Oleh itu, PAS terutamanya tidak harus leka dan mesti memberikan fokus untuk terus membina keampuhan parti. Kerjasama politik (ta’awun siyasi) adalah salah satu uslub dan sentimen rakyat juga tidak kekal.

PAS hendaklah sentiasa bermuhasabah, meneruskan kerja rutin jama’ah dan memberdaya kualiti. Amanah kepimpinan khususnya di Kelantan dan Terengganu mesti dipelihara agar menjadi model pentadbiran Islam yang terbaik.

Elakkan berada dalam zon selesa sebaliknya tumpu kepada ruang-ruang yang perlu diperbaiki.

Sesungguhnya PAS yakin bahawa kemenangan Islam tidak akan terjadi melainkan hanya dengan pertolongan Allah SWT.

Islam Memimpin

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat
9 Sya’ban 1440 | 15 April 2019 – HARAKAHDAILY 15/4/2019