PRK Sandakan: PAS belum buat ketetapan

KOTA BHARU: PAS belum membuat sebarang ketetapan rasmi mengenai penglibatan parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan.

Advertisement

Sebaliknya, PAS hanya mengambil keputusan untuk tunggu dan lihat bagaimana situasinya nanti.

Naib Presidennya Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, kerusi Parlimen di Sabah itu secara tradisinya bukan kawasan yang ditandingi PAS.

“PAS memang tidak bertanding sebagaimana sebelum ini sebab parlimen itu tidak termasuk dalam kawasan kita.

“BN sendiri pun setahu saya setakat ini belum ada keputusan berhubung penyertaan mereka pada PRK itu,” ujarnya selepas menyampaikan ucaptama majlis solat hajat sempena Hari Sayyidatina Khadijah 2019.

Solat hajat berkenaan diimamkan anggota Jawatankuasa Ulamak PAS Kelantan, Tuan Guru Nik Razi Nik Mat di Dewan Teratai hari ini.

Oleh itu, tambahnya PAS tidak boleh menentukan sikapnya buat masa sekarang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini menetapkan tarikh pilihan raya kerusi Parlimen Sandakan pada 11 Mei, manakala penamaan calon pula pada 27 April ini.

PRK Parlimen Sandakan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Dato’ Stephen Wong Tien Fatt dari DAP akibat serangan jantung 28 Mac lalu. – HARAKAHDAILY 16/4/2019