Sultan Nazrin rasmi Sidang Dun Perak

IPOH: Upacara pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Perak Ke-14 telah berlangsung dengan penuh adat istiadat dirasmikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, hari ini.
 
Adun-adun PAS iaitu Adun Gunung Semanggol, Razman Zakaria dan Adun Selama, Ustaz Mohd Akmal Kamaruddin serta Adun Kubu Gajah, Ustaz Khalil Yahaya turut hadir pada majlis yang berlangsung di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.
 
Antara dititah baginda adalah berkenaan kes-kes melibatkan penerokaan tanah secara haram di mana perlu ditangani tanpa kompromi serta sikap berlembut dan bertolak ansur kerana hanya akan memberikan mesej salah dan bakal menggalakkan lebih banyak pembangunan tidak terkawal.
 
“Pembangunan bukan lesen menghalalkan perbuatan memusnahkan alam sekitar, sekiranya tidak dirancang secara seimbang dan dilaksanakan tanpa kelulusan laporan Penilaian Kesan Terhadap Alam Sekeliling (EIA), khususnya di kawasan tanah tinggi akan merosakkan alam sekitar.
 
“Pembangunan tidak terkawal yang dilakukan tanpa kebenaran di Tanah Tinggi Kinta bersempadan dengan Cameron Highlands, Pahang dan Lojing, Kelantan dilaporkan telah mengakibatkan hakisan dan kelodak yang serius.
 
“Bencana daripada sisa toksik yang berlaku di Pasir Gudang, Johor pada Mac lalu dijadikan pengajaran bahawa pencemaran alam sekitar perlu diberi perhatian serius. Jabatan Alam Sekitar bersama kerajaan tempatan hendaklah bertindak tegas.
 
“Lakukan pemantauan berkala dan memastikan tahap piawaian alam sekitar dipatuhi, mana-mana kilang yang beroperasi secara haram wajib ditutup tanpa berlengah,” titah baginda.
 
Sultan Nazrin turut mengingatkan agar pemimpin di barisan utama mempamerkan contoh dan membuktikan kesungguhan dalam memerangi gejala rasuah yang terbukti telah meruntuhkan banyak negara dan tamadun.
 
Titahnya, empat kebimbangan utama dalam kalangan warga dunia ialah tadbir urus yang telus, pengangguran, ketidaksamaan sosial dan kemiskinan di mana ia sangat berkait dengan keyakinan rakyat kepada kerajaan pada keupayaan menangani.
 
“Kebimbangan-kebimbangan tersebut melalui kebijaksanaan kepimpinan yang berupaya melaksanakan program-program secara realistik dan manfaatnya dapat dinikmati secara langsung oleh rakyat,” titahnya.
 
Baginda juga mahu kerajaan negeri menjadikan usaha membantu penduduk tempatan di Pulau Pangkor sebagai agenda pembangunan utama demi memastikan mereka mendapat manfaat dengan pengisytiharan sebagai pulau bebas cukai.
 
“Kini pelbagai gerak kerja untuk merealisasikan status berkenaan sedang dirintis, namun usaha untuk membantu penduduk tempatan hendaklah dijadikan agenda pembangunan demi memastikan mereka tidak bernasib Lebai Malang.
 
“(Iaitu) Menang sorak kampung tergadai, tertinggal sebagai penonton yang pasif, berputih mata, melihat dagang lalu ditanak-sedangkan anak di riba mati tak makan,” titah baginda susulan pengumuman Menteri Kewangan mengisytiharkan status pulau itu yang ditetapkan pewartaannya pada 1 Januari 2020.
 
Baginda juga bertitah mengenai isu banjir, bahawa sejak Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kurau yang melibatkan kos RM120 juta siap pada 2016, kawasan lembangan sungai itu seluas 8,200 hektar bebas daripada bencana banjir.
 
“Kini Projek RTB Teluk Intan Fasa 1 hampir siap dan insya-Allah projek ini akan membebaskan 500 orang daripada bencana banjir, disamping turut melimpahkan manfaat kepada 15,000 penduduk lain,” titah baginda.
 
Esok Adun PAS, Razman Zakaria akan berbahas selepas Ketua Pembangkang dari BN, Adun Lenggong, Dato’ Saarani Mohamad memulakan perbahasannya. – HARAKAHDAILY 16/4/2019
IMG 20190416 WA0074
 
IMG 20190416 WA0075
 
IMG 20190416 WA0076
Advertisement