Baiah PAS Gopeng teguh dukung perjuangan

GOPENG: PAS Kawasan Gopeng telah mengadakan Majlis Perkasa Baiah bersama 24 wakil Ahli Jawatankuasa PAS Cawangan-cawangan yang berlangsung di Wisma Purnama, Pengkalan Pegoh, di sini semalam.

Advertisement

Program tersebut diadakan bertujuan meningkatkan lagi rasa cinta terhadap perjuangan PAS dan memberikan wala’ kepada kepimpinan parti di semua peringkat, selain menyuburkan rasa jihad dalam diri setiap anggota.

Pimpinan PAS Gopeng yang hadir mengetuai majlis itu adalah Yang DiPertua, Ustaz Abu Bakar Hussain dan Naib Yang DiPertua, Haiyi Tahir, serta Setiausaha, Shamsul Baharin dan juga Timbalan Ketua Muslimat, Ustazah Rotipah Shaari.

Pada program itu, semua pimpinan PAS Cawangan diberikan taklimat khas bagi memantapkan organisasi serta fokus yang jelas ke arah memperkasakan PAS Gopeng.

Mereka juga disuntik ingatan untuk berperanan menjayakan potensi PAS Gopeng dalam melahirkan kader-kader penyambung perjuangan menerusi janaan tarbiyah yang berkesan.

Kemuncaknya, semua yang hadir bersama melafazkan ikrar baiah bagi menyemarakkan rasa tanggungjawab diri selaku anggota pendukung perjuangan Islam melalui wadah PAS.

Majlis itu juga menjadi simbolik kesediaan seluruh ahli PAS Gopeng menggembleng tenaga memartabatkan Islam dan mencapai hasrat digariskan di bawah kepimpinan Ustaz Abu Bakar. – HARAKAHDAILY 18/4/2019

20190418 175059