Geng Ustaz kecam tindakan Asiah Jalil

BARU-baru ini tular seorang peguam bernama Asiah Abdul Jalil menulis di akaun Facebook miliknya yang intipati utamanya adalah perihal perkahwinan dan dalam tulisannya itu punya unsur penghinaan dan fitnah terhadap Rasulullah SAW.

Advertisement

Menurut Asiah, Rasulullah SAW bersenang lenang di Gua Hira’ dengan meninggalkan anak-anak di bawah jagaan isteri seorang. Sedangkan kita sedia maklum bahawa Rasulullah SAW ke Gua Hira’ bukanlah untuk bersenang lenang, namun di situlah tercatat sejarah besar di mana Nabi menerima wahyu yang pertama serta dilantik sebagai Ar-Rasul SAW.

Asiah turut menulis, Nabi SAW berkahwin lain tanpa pengetahuan isteri-isteri baginda SAW yang sedia ada dan beliau menyambung lagi bahawa apabila Nabi pening dengan karenah isteri-isteri baginda, Allah beri jalan keluar dengan ugutan talak terhadp isteri-isteri baginda.

Ini adalah suatu tuduhan dan penghinaan berat terhadap seorang insan mulia, yang dilantik sebagai Rasulullah SAW.

NGO Pertubuhban Pendukung & Pencinta Ulamak (Geng Ustaz) dengan ini mengutuk sekeras-kerasnya penghinaan dan penulisan Asiah terhadap Nabi SAW dan menggesa agar pihak berwajib mengambil tindakan serius terhadap beliau.

Saat umat Islam diserang dari pelbagai sudut, ruang dan daripada musuh luar dan dalam negara, kini ditambah pula serangan dan penghinaan terhadap Nabi SAW oleh orang Islam sendiri.

Perbuatan ini perlu dihentikan dengan tindakan yang sepatutnya sebelum merebak dengan lebih parah oleh mereka yang anti Islam ataupun ‘Islamophobia’.

NGO Geng Ustaz turut menyarankan agar umat Islam di Malaysia sedar dan bangkit serta tunjukkan cinta kita terhadap Islam dan Rasulullah SAW.

Semoga Allah SWT pelihara agama kita dan terus kekal istiqamah di jalan-Nya.

USTAZ KAMALUL HYSHAM
Pemangku Presiden NGO Geng Ustaz – HARAKAHDAILY 18/4/2019