Henti seketika urus niaga di pasar malam

Ustaz rosli

KUANTAN: Kerajaan Pahang dicadangkan mengikut langkah kerajaan Kelantan dan Terengganu menghentikan seketika aktiviti perniagaan di pasar malam ketika solat Maghrib.

Advertisement

Ustaz Rosli Abdul Jabar (PAS-Tanjung Lumpur) berkata, langkah itu membolehkan peniaga dan orang ramai berhenti seketika untuk menunaikan solat.

Katanya, pihak berkuasa tempatan perlu memyediakan ruang solat yang sesuai di tapak pasar malam yang belum mempunyai kemudahan musala.

“Inisiatif yang dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu alhamdulillah saya difahamkan berjalan lancar sehingga sekarang,” katanya ketika membahas ucapan menjunjung Titah Diraja pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang di Wisma Sri Pahang semalam.

Peraturan menghentikan seketika urusniaga di pasar malam di Kelantan dilaksanakan sejak lebih 20 tahun.

Malah wakil rakyat juga ada ketikanya hadir dan mengimamkan solat Maghrib bersama orang ramai di tapak pasar malam. – HARAKAHDAILY 19/4/2019